
KUALA LUMPUR, 14 Julai – Strategi RESET dilaksanakan sebagai kerangka strategik dan komprehensif bagi menangani peningkatan kos perubatan swasta.
- Pelan MediAsas dilancarkan peringkat nasional Januari 2027, tawaran berpatutan, meluaskan perlindungan kepada golongan M40.
- Integrasi pembayaran berasaskan Kelompok Berkaitan Diagnosis DRG secara berfasa untuk fokus rawatan tepat dan kos munasabah.
- Pelaksanaan kebolehoperasian rekod perubatan elektronik, penstrukturan semula bil hospital swasta dan penerbitan julat harga perkhidmatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, strategi itu diterajui Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) yang ditubuhkan kerajaan, bagi menangani inflasi perubatan swasta.
Antara strategi utama RESET ialah memperkenalkan Pelan MediAsas yang akan dilancarkan di peringkat nasional pada Januari 2027.
Pelan itu ditawarkan pada kadar berpatutan dan harga mampu milik.
“Pelan ini akan mula mengintegrasikan mekanisme pembayaran berasaskan Kelompok Berkaitan Diagnosis (DRG) secara berfasa di hospital swasta,” katanya.
Menurut beliau, MediAsas tidak menggantikan sistem penjagaan kesihatan awam, sebaliknya saling melengkapi perlindungan sedia ada, selain memperluas liputan dan pilihan kepada golongan M40.
“Ia bukan saja satu pendekatan insurans tetapi ada tiga lagi aspek yang mana ia akan merangkumkan integrasi pendekatan DRG ataupun lebih mudah lagi kelompok berkaitan diagnosis, satu sistem pembayaran yang akan dilaksanakan secara berfasa.
“Ringkasnya, pendekatan yang akan menekankan aspek kalau dulu lebih banyak prosedur dan ujian-ujian maka lebih banyak bayarannya, sekarang ini kita fokus kepada rawatan yang tepat, kos yang munasabah dengan hasil yang lebih baik,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat.
Beliau juga berkata, RESET turut merangkumi kebolehoperasian rekod perubatan elektronik (EMR) bagi mengurangkan pertindihan ujian dan imbasan perubatan, penstrukturan semula bil hospital swasta, serta penerbitan julat harga kos perkhidmatan kesihatan swasta.