PMKS tempatan perlu proaktif hadapi JS-SEZ

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menuntut persediaan rapi daripada rakyat tempatan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), bagi memastikan mereka tidak tercicir dalam arus pertumbuhan ekonomi yang bakal dijana.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mulakan perancangan seawal peringkat, bukan selepas pelaburan mula masuk.
  • Bertindak proaktif supaya pemain tempatan tidak hanya menjadi pemerhati apabila pelaburan asing menguasai pasaran.
  • Utamakan latihan semula dan peningkatan kemahiran bagi memenuhi permintaan sektor berteknologi tinggi seperti pusat data dan semikonduktor.
  • Pastikan limpahan ekonomi dirasai hingga ke akar umbi melalui penyertaan PMKS dalam rantaian nilai.

Pensyarah Kanan dan Penyelaras Program MBA Putra Business School, Profesor Madya Dr. Ida Md Yasin berkata, persediaan perlu dimulakan seawal peringkat perancangan, bukan selepas pelaburan mula masuk dan aktiviti ekonomi telah berkembang.

Beliau berkata, tindakan proaktif itu penting bagi mengelakkan situasi di mana pemain tempatan hanya bertindak sebagai pemerhati ketika pelaburan asing bernilai tinggi mula menguasai pasaran.

“Perancangan itu harus dilakukan dari awal, bukannya apabila perniagaan sudah berjalan baru kita ingin mencari industri yang sesuai untuk disertai. Kita tidak mahu pelaburan sudah masuk, tetapi PMKS tempatan masih belum bersedia untuk menyumbang,” katanya kepada media selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, hari ini.

Menurut Dr. Ida, antara keutamaan yang perlu diberi perhatian adalah penyediaan tenaga kerja mahir dalam sektor berteknologi tinggi seperti pusat data, semikonduktor dan teknologi hijau.

Katanya, usaha latihan semula (retraining) dan peningkatan kemahiran (upskilling) perlu dilaksanakan secara agresif bagi memastikan tenaga kerja tempatan mampu memenuhi keperluan industri.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa limpahan ekonomi daripada pembangunan JS-SEZ perlu dirasai secara menyeluruh hingga ke peringkat akar umbi.

“Cabaran seterusnya ialah bagaimana manfaat ekonomi ini dapat disalurkan kepada rakyat. Angka pelaburan yang besar sudah tentu menimbulkan persoalan mengenai pulangan kepada masyarakat, bukan hanya kepada pelabur,” katanya.

Tambah beliau, Johor mempunyai banyak industri kecil dan sederhana yang berpotensi memainkan peranan penting dalam rantaian nilai, sekali gus memastikan pembangunan yang lebih inklusif dan mampan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.