LIMA 2027 perkenal lapan segmen teknologi pertahanan baharu

LIMA 2027 dijadual berlangsung dari 20 hingga 24 April tahun depan. / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2027 bakal memperkenal lapan segmen baharu yang menumpukan teknologi pertahanan moden.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian menegaskan LIMA dikemas kini untuk kekal relevan selari perkembangan industri pertahanan global.
  • Segmen baharu memfokuskan teknologi dron, kecerdasan buatan, pesawat tanpa pemandu dan teknologi terkini industri pertahanan.
  • Pertunjukan udara jet pejuang aerobatik menjadi tarikan utama; Korea Selatan, Rusia, Indonesia dan UAE mengesahkan penyertaan.

Setiausaha Bahagian Industri Pertahanan, Kementerian Pertahanan, Mohd Nizam Mohd Khir berkata langkah itu selaras usaha memastikan pameran dwitahunan yang bermula sejak 1991 itu kekal relevan dengan perkembangan industri pertahanan global.

“Untuk edisi ke-18, secara amnya terdapat 30 segmen dan lapan daripadanya merupakan segmen baharu termasuk teknologi dron, kecerdasan buatan, pesawat tanpa pemandu serta teknologi terkini dalam industri pertahanan,” katanya kepada RTM.

Mohd Nizam berkata pengisian baharu lain merangkumi pameran kenderaan sokongan tentera udara dan tentera laut, selain aset kebombaan.

“Paling dinantikan, sudah pasti pertunjukan udara jet pejuang membabitkan pasukan aerobatik pelbagai negara yang akan menggegarkan pulau legenda.

“Setakat ini, Korea Selatan, Rusia, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah mengesahkan penyertaan,” jelasnya.

LIMA 2027 dijadual berlangsung dari 20 hingga 24 April tahun depan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.