
SERDANG, 13 Julai – Usaha memelihara warisan seni bina tradisional Selangor terus diperkasakan menerusi pembinaan Rumah Bumbung Panjang Selangor di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.
- Cetusan ilham Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memastikan identiti seni bina tradisional negeri terus dipelihara.
- Binaan kira-kira 750 kaki persegi menggunakan kayu terpakai berkualiti seperti cengal, resak dan belian; kos hampir RM400,000.
- Reka bentuk menonjolkan elemen beranda, ruang tengah, loteng dan tangga dapur berasaskan konsep serta falsafah Melayu Selangor.
- Projek dirancang menjadi tarikan penyelidik, pelajar dan orang ramai serta berpotensi dijadikan ikon pelancongan warisan negeri.
Majlis pecah tanah projek berkenaan disempurnakan oleh Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Datuk Borhan Aman Shah, hasil kerjasama antara Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), UPM serta Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).
Datuk Borhan berkata, pembinaan rumah berkenaan merupakan cetusan ilham Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bagi memastikan identiti seni bina tradisional negeri itu terus dipelihara dan dikenali oleh generasi akan datang.
Katanya, Rumah Bumbung Panjang Selangor yang dibina berkeluasan kira-kira 750 kaki persegi itu akan menggunakan kayu terpakai berkualiti seperti cengal, resak dan belian, dengan kos pembinaan hampir RM400,000.
“Rumah ini dijangka siap pada hujung tahun ini atau sekitar November. Kita mahu memastikan apabila terbinanya Rumah Bumbung Panjang Selangor ini, ia menjadi tatapan generasi baharu untuk mengenali warisan negeri Selangor menerusi rumah tradisional,” katanya.
Menurutnya, Rumah Bumbung Panjang Selangor mempunyai identiti tersendiri menerusi elemen seni bina seperti beranda, ruang tengah, loteng dan tangga dapur yang dibina berasaskan konsep serta falsafah masyarakat Melayu Selangor.
Ketika ini, UPM turut menempatkan rumah tradisional dari Pahang, Negeri Sembilan, Terengganu dan Perak, sekali gus menjadikan Rumah Bumbung Panjang Selangor sebagai rumah tradisional negeri kelima di lokasi berkenaan.
Rumah berkenaan dijangka menjadi tarikan baharu kepada penyelidik, pelajar dan orang ramai, selain berpotensi dijadikan ikon pelancongan warisan Negeri Selangor.
Dalam pada itu, PADAT turut merancang untuk mewartakan reka bentuk Rumah Bumbung Panjang Selangor sebagai identiti rasmi seni bina tradisional negeri tersebut bagi memastikan warisan berkenaan terus dipelihara dan dikenali generasi akan datang.