
KUALA LUMPUR, 13 Julai- Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan mengurniakan Istiadat Sambutan Negara kepada Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam di Istana Negara bersempena dengan Lawatan Negara pertama beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan pada September 2023.
- Ketibaan Tharman dan isteri disambut Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong.
- Hadir sama Perdana Menteri, isteri, Timbalan Perdana Menteri dan barisan menteri kabinet.
- Istiadat di padang kawad: nyanyian lagu kebangsaan kedua negara oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja dan tembakan meriam 21 das.
- Lawatan Negara tiga hari (13 hingga 15 Julai) sebagai kunjungan balas, mengukuhkan hubungan dagang erat Malaysia dan Singapura.
Ketibaan Tharman dan isteri Jane Ittogi Shanmugaratnam pada 10 pagi disambut Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Fadillah Yusof dan barisan menteri kabinet.
Istiadat sambutan di padang kawad itu dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Singapura dan Malaysia oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja, disusuli tembakan meriam 21 das.
Presiden Singapura itu kemudian memeriksa kawalan kehormat membabitkan empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai Mej Mohd Masrur Hidayat Masri, sebelum sesi sembah kenal anggota delegasi rasmi kedua-dua negara serta sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Presiden Singapura kesembilan itu juga diraikan dan diberi penghormatan pada Majlis Jamuan Negara yang turut menyaksikan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke majlis itu.
Tharman sedang mengadakan Lawatan Negara selama tiga hari ke Malaysia bermula 13 hingga 15 Julai atas jemputan Yang di-Pertuan Agong.
Kementerian Luar memaklumkan lawatan itu sebagai membalas Lawatan Negara Sultan Ibrahim ke Singapura pada 6 dan 7 Mei 2024.
Menurut kementerian itu, Singapura kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia di dunia dan rakan dagang terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Singapura mencecah RM402.35 bilion (US$93.97 bilion) pada 2025, peningkatan 1.5 peratus berbanding 2024.
Dari tempoh Januari hingga Mei 2026, jumlah perdagangan dua hala meningkat 14.5 peratus kepada RM189.90 bilion (US$47.87 bilion), berbanding RM165.93 bilion (US$37.65 bilion) dicatatkan dalam tempoh sama pada 2025. -BERNAMA