Kebakaran hutan musnahkan 800 hektar tanah di Perancis

Foto REUTERS

PARIS, 13 Julai – Pihak berkuasa Perancis mengerahkan dua buah pesawat pemadam api dari wilayah selatan ke Paris buat pertama kali dalam sejarah, selepas kebakaran hutan berskala luar biasa tercetus di Fontainebleau, kira-kira 60 kilometer di tenggara ibu negara itu pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebakaran memusnahkan kira-kira 800 hektar, merebak dengan pantas.
  • Sebahagian Lebuhraya A6 ditutup, melumpuhkan sambungan utara dan selatan negara.
  • Insiden melumpuhkan pengangkutan; TGV di Gare de Lyon lewat sehingga enam jam, menjejaskan jutaan pengembara cuti musim panas.

Pegawai Persekutuan Kebangsaan Anggota Bomba Perancis, Eric Brocardi mengesahkan langkah drastik itu terpaksa diambil bagi mengawal kebakaran besar di kawasan yang biasanya jarang berhadapan dengan krisis ekstrim sedemikian.

Kebakaran yang disifatkan sebagai dahsyat itu dilaporkan telah memusnahkan kawasan seluas 800 hektar dan merebak dengan pantas.

Keadaan itu memaksa penutupan sebahagian lebuh raya utama A6 yang menghubungkan utara dan selatan negara berkenaan.

Kira-kira 400 anggota bomba, dibantu oleh dua buah helikopter dan sebuah pesawat pemerhati, dikerahkan bagi mengekang api daripada merebak ke kawasan perkampungan berhampiran termasuk Vaudoue, yang menyaksikan 15 buah rumah telah dipindahkan.

Insiden itu turut melumpuhkan sistem pengangkutan utama negara apabila jadual perjalanan kereta api berkelajuan tinggi (TGV) di stesen Gare de Lyon mengalami kelewatan sehingga enam jam ketika jutaan warga Perancis mula bercuti bersempena dengan musim panas dan sambutan Hari Kebangsaan pada 14 Julai.

Menteri Dalam Negeri, Laurent Nunez memaklumkan bahawa setakat tahun ini, kebakaran hutan di Perancis telah memusnahkan 17,000 hektar kawasan dan terus meningkat sehingga 25,000 hektar.

Jumlah berkenaan mencatatkan peningkatan sekali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lepas akibat gelombang haba yang melanda negara itu sejak Mei. – AFP