Banjir, tanah runtuh di Bangladesh ragut 50 nyawa

Penduduk meredah banjir di Chattogram susulan hujan monsun yang mengorbankan sekurang-kurangnya 50 nyawa di Bangladesh/Foto AFP

DHAKA, 12 Julai – Sekurang-kurangnya 50 orang maut akibat banjir kilat dan tanah runtuh yang dicetuskan hujan monsun di Bangladesh sepanjang minggu lalu, manakala puluhan ribu lagi terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.

RINGKASAN BERITA AI
  • Daerah Chattogram paling terjejas, ramai mangsa tertimbus dan beberapa individu masih hilang.
  • Kira-kira 35,000 penduduk mendapat perlindungan di pusat pemindahan kerajaan selepas banjir dan tanah runtuh.
  • Pasukan tentera dan pengawal sempadan menghantar makanan, air dan keperluan asas menggunakan bot ke kawasan terputus.
  • Tanah runtuh di kem pelarian Rohingya Cox's Bazar turut menambah korban dan menyulitkan operasi bantuan.

Menurut pihak berkuasa, daerah Chattogram merekodkan jumlah korban tertinggi dengan 50 kematian, termasuk 29 mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh. Dua lagi individu dilaporkan masih hilang.

Kira-kira 35,000 penduduk mendapatkan perlindungan di pusat pemindahan yang dikendalikan kerajaan.

Pasukan tentera dan anggota pengawal sempadan terus menghantar bekalan makanan, air minuman serta keperluan asas menggunakan bot ke kawasan yang terputus hubungan akibat banjir di daerah tenggara negara itu.

Pihak berkuasa turut membuka kira-kira 4,000 pusat perlindungan bagi menempatkan mangsa yang dipindahkan, ketika bekalan makanan dan air bersih semakin berkurangan.

Penduduk memaklumkan ramai masih berdepan keadaan sukar apabila rumah dan dapur mereka ditenggelami air.

Minggu lalu, hujan lebat turut mencetuskan tanah runtuh di kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazar yang mengorbankan 15 nyawa.

Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Bangladesh menjangkakan keadaan di daerah tenggara akan beransur pulih dalam tempoh terdekat, namun hujan monsun dijangka terus melanda kawasan timur laut dan utara negara itu, sekali gus meningkatkan risiko banjir.-AFP