PRN Johor: Peralihan ke arah politik berpaksikan prestasi

Dr. Abdul Aziz Azizam berkata, kestabilan pentadbiran dan keyakinan terhadap kepimpinan menjadi antara pertimbangan utama pengundi pada PRN Johor ke-16/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Julai – Kestabilan pentadbiran dan keyakinan terhadap kepimpinan dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang mempengaruhi corak pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengundi menilai kestabilan pentadbiran dan keyakinan terhadap pemimpin sebagai faktor utama, bukan semata-mata kesetiaan parti.
  • Pertimbangan kos dan manfaat serta kesinambungan dasar menjadi asas keputusan pengundian.
  • Pengundi muda dan atas pagar lebih menghargai corak pentadbiran yang stabil termasuk kepimpinan Onn Hafiz.
  • Konflik dalaman pembangkang, terutamanya dalam PN, mengurangkan keyakinan pengundi terhadap alternatif yang stabil.

Pensyarah Kanan Komunikasi Liberal, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Abdul Aziz Azizam berkata, keputusan itu mencerminkan kecenderungan pengundi membuat pertimbangan berdasarkan kestabilan kerajaan serta manfaat yang diperoleh daripada kesinambungan pentadbiran.

Menurut beliau, pengundi turut menilai aspek kos dan manfaat sebelum membuat pilihan, termasuk dari segi kestabilan politik, keyakinan terhadap kepimpinan dan kesinambungan dasar kerajaan.

“Rakyat telah membuat pilihan yang baik kepada mereka sendiri kerana mereka membuat pilihan melalui perkiraan kos, manfaat dan juga kelebihan dari segi kestabilan yang mereka akan dapat.

“Mereka tidak membuat sesuatu pemilihan berasaskan parti semata-mata tetapi memilih untuk ditadbir dengan stabil dan mempunyai keyakinan kepada pemimpin yang mereka pilih,” katanya ketika dihubungi RTM, hari ini.

Dr. Abdul Aziz berkata, kecenderungan itu jelas dapat dilihat khususnya dalam kalangan pengundi muda dan pengundi atas pagar yang lebih mengambil kira faktor pentadbiran dan kestabilan sebelum membuat keputusan.

“Pengundi di Johor, terutamanya pengundi muda dan pengundi atas pagar, secara tidak langsung telah menghargai corak pentadbiran Onn Hafiz selama ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr. Abdul Aziz berkata, selain prestasi kerajaan negeri, kelemahan pembangkang turut mempengaruhi keputusan PRN kali ini apabila konflik dalaman dalam Perikatan Nasional (PN) menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keupayaannya menawarkan alternatif yang stabil.

Beliau berkata, pengundi lazimnya tidak cenderung memilih parti yang berdepan masalah dalaman, sekali gus menjadikan kestabilan organisasi sebagai antara pertimbangan utama dalam membuat pilihan.