
KUALA LUMPUR, 12 Julai – Pemanah compound negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh menamatkan saingan peringkat keempat Piala Dunia Memanah 2026 di Madrid, Sepanyol dengan meraih pingat perak selepas tewas tipis kepada pemanah Britain, Ella Gibson, dalam perlawanan akhir, hari ini.
- Fatin tewas tipis 148-150 kepada Ella Gibson selepas memberikan tentangan sengit dalam perlawanan akhir.
- Beliau melangkah ke final selepas menewaskan wakil India Prithika Pradeep 144-142 di separuh akhir.
- Kejayaan di Madrid meneruskan rentak cemerlangnya musim ini selepas memenangi tiga pingat di Piala Asia Bangkok, Mac lalu.
Pada perlawanan penentuan itu, Fatin Nurfatehah yang berada di ranking ke-13 dunia memberikan tentangan sengit sebelum akur 148-150 kepada Gibson yang menghuni ranking kedua dunia.
Terdahulu, pemanah berusia 35 tahun itu melangkah ke pentas akhir selepas menewaskan wakil India, Prithika Pradeep, 144-142 pada peringkat separuh akhir.
Sementara itu, Prithika membawa pulang pingat gangsa selepas menundukkan Hazal Burun dari Turkiye 145-142.
Kejayaan di Madrid meneruskan rentak cemerlang Fatin Nurfatehah musim ini selepas memenangi tiga pingat pada pusingan pembukaan Piala Asia di Bangkok, Mac lalu.
Beliau sebelum ini pernah menghadiahkan pingat emas acara compound berpasukan wanita pada Piala Dunia Shanghai 2015 selain meraih gangsa acara berpasukan campuran di Piala Dunia Antalya 2023.