
MASHHAD, 12 Julai – Kenyataan bertulis Pemimpin Tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei yang mengandungi ikrar bertindak balas terhadap pembunuhan bapanya, Ayatollah Ali Khamenei, dibacakan pada upacara memperingati pemergian Ali Khamenei, di sini, pada Sabtu.
- Mojtaba mengikrar akan membela semua syuhada dengan bertindak balas terhadap pembunuh dan penjenayah.
- Mereka yang bertanggungjawab telah dikenal pasti dari peringkat tertinggi hingga terendah.
- Pembalasan akan dijalankan di mana jua, walaupun tanpa kehadiran dirinya atau pegawai lain.
Ia merupakan kenyataan awam pertama Mojtaba sejak pengebumian bapanya, yang meninggal dunia dalam serangan bersama Amerika Syarikat dan sekutu rapatnya, Israel.
“Kami berikrar akan membela semua syuhada dalam peperangan ini dengan bertindak balas terhadap para pembunuh dan penjenayah.
“Pembalasan ini merupakan kehendak negara kita dan pasti akan dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.
Mojtaba berkata mereka yang bertanggungjawab telah dikenal pasti dari peringkat tertinggi hingga terendah.
Beliau menegaskan pembalasan itu akan tetap dilakukan tidak kira dimana jua lokasinya dan meskipun tanpa kehadiran dirinya atau pegawai lain.
Upacara memperingati pemergian Ali Khamenei di Makam Imam Reza di sini, dibanjiri orang ramai yang menzahirkan kesedihan atas kehilangan pemimpin tersebut. – AFP