
PARIS, 12 Julai – Satu perempat kawasan di Perancis, termasuk ibu negaranya, Paris, berada di bawah amaran haba tertinggi pada Sabtu ketika negara itu berdepan gelombang haba ketiga sejak Mei.
- Mercu tanda Paris seperti Menara Eiffel, Louvre dan Musee d'Orsay ditutup awal kerana suhu tinggi, mengecewakan sebahagian pelancong.
- Laluan Tour de France dipendekkan 30 kilometer dan satu laluan berbukit dikeluarkan susulan suhu melebihi 35 darjah Celsius.
- Gelombang haba menyusuli Jun yang mencatat lebih 2,000 kematian; Meteorologi menjangka suhu tinggi berterusan hingga Hari Bastille.
Keadaan itu memaksa waktu operasi beberapa mercu tanda utama di Paris termasuk Menara Eiffel berakhir lebih awal, selain laluan Tour de France dipendekkan buat pertama kali dalam sejarah perlumbaan berkenaan.
Pengendali Menara Eiffel berkata mercu tanda setinggi 324 meter itu ditutup pukul 4 petang waktu tempatan pada Sabtu dan Ahad berikutan suhu tinggi.
“Menara berkenaan kebiasaannya dibuka sehingga selepas tengah malam pada musim puncak dan menerima kira-kira tujuh juta pengunjung setahun,” menurut pengendali itu.
Muzium Louvre pula ditutup pukul 4 petang dari Jumaat hingga Isnin, manakala Musee d’Orsay ditutup pukul 5 petang dari Sabtu hingga Rabu.
Penutupan awal itu mengecewakan sebahagian pelancong, termasuk Antonia Conerney dari England yang telah menempah lawatan lebih awal sempena ulang tahun perkahwinannya.
“Saya agak kecewa. Saya hampir menangis kerana sudah merancang semuanya secara khusus,” katanya.
Seorang lagi pelancong, Donald John Mackenzie dari Scotland berkata keputusan itu wajar dibuat atas faktor keselamatan.
“Kami agak sedih kerana tidak dapat naik, tetapi mudah-mudahan cuaca lebih baik esok dan kami berpeluang menaiki Menara Eiffel,” katanya.
Sementara itu, laluan Tour de France sejauh 185.5 kilometer pada Ahad dipendekkan sebanyak 30 kilometer, selepas para pelumba berdepan suhu melebihi 35 darjah Celsius sepanjang minggu.
Satu laluan berbukit turut dikeluarkan susulan cuaca panas terik.
Gelombang haba kali ini menyusuli cuaca panas pada Jun yang merekodkan lebih 2,000 kematian, berbanding 300 kematian, bulan sebelumnya.
Jabatan Meteorologi menjangkakan suhu tinggi berterusan sehingga sambutan Hari Bastille pada 14 Julai. – AFP