
MIAMI, 12 Julai – Jude Bellingham sekali lagi muncul wira England apabila menjaringkan dua gol untuk membantu skuad Three Lions bangkit daripada ketinggalan menewaskan Norway 2-1 selepas masa tambahan, sekali gus mara ke separuh akhir Piala Dunia FIFA 2026, pagi ini.
- Andreas Schjelderup mengejutkan England dengan meletakkan Norway di depan dalam penampilan suku akhir pertama mereka.
- Gol kedua Norway dibatalkan selepas semakan VAR mendapati kekasaran oleh Erling Haaland, mencetuskan kontroversi.
- Bellingham manfaatkan kesilapan Orjan Nyland untuk meledak gol keenamnya; England akan berdepan Argentina atau Switzerland.
Kemenangan itu sekali gus menamatkan perjalanan bersejarah skuad The Vikings yang berharap dapat melangkah ke separuh akhir.
Dalam penampilan suku akhir pertama mereka, Andreas Schjelderup mengejutkan England apabila meletakkan Norway di depan dalam cuaca panas terik di Miami.
Namun, Bellingham yang turut meledak dua gol dalam kemenangan dramatik 3-2 ke atas Mexico pada pusingan 16 terakhir mencipta detik magis untuk menyamakan kedudukan sebelum tamat separuh masa pertama.
Norway dinafikan gol kedua secara kontroversi selepas semakan VAR pada separuh masa kedua mendapati berlaku kekasaran oleh Erling Haaland ketika kedua-dua pasukan dipaksa mengerah tenaga ke tahap maksimum sehingga perlawanan berlanjutan ke masa tambahan.
Bellingham sekali lagi melakar detik penting apabila memanfaatkan kesilapan Orjan Nyland untuk meledakkan gol keenamnya dalam kejohanan itu.
England akan berdepan Argentina atau Switzerland pada Rabu bagi merebut slot ke perlawanan akhir Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 60 tahun.
Perlawanan antara Argentina dengan Switzerland dijadual berlangsung pukul 9 pagi ini, waktu Malaysia. – AFP