
BANGKOK, 11 Julai – Seorang rakyat Malaysia berdepan dua pertuduhan di Mahkamah Thailand selepas dipercayai diperalatkan sindiket penipuan dalam talian sebagai orang tengah untuk mengambil wang daripada mangsa scam.
- Sindiket mengguna orang tengah untuk mengambil wang secara bersemuka, mengelak ahli sindiket daripada ditangkap.
- Mangsa pesara wanita Thailand ditipu pelaburan palsu di Facebook; membuat pindahan 600,000 baht dan dituntut tambahan 700,000 baht.
- Seorang rakyat Malaysia direkrut kononnya untuk mengambil 'produk', diberi tiket serta kos perjalanan, kemudian ditahan polis ketika menerima sampul.
- Beliau didakwa atas Penipuan Awam dan memasukkan maklumat palsu ke sistem komputer walaupun tiada bukti beliau menipu mangsa.
Kes yang mendapat perhatian di Thailand itu dilaporkan stesen televisyen awam Thai PBS pada 7 Julai lalu, sekali gus mendedahkan taktik baharu sindiket yang bukan sahaja memperdaya mangsa, malah menggunakan individu lain bagi mengelak risiko mereka ditangkap.
Kes bermula apabila seorang pesara kerajaan wanita di Thailand menjadi mangsa pelaburan palsu yang diiklankan menerusi Facebook, kononnya menawarkan keuntungan melalui pembelian produk susu kesihatan.
Mangsa membuat dua kali pemindahan wang berjumlah 600,000 baht kepada akaun yang diberikan suspek. Selepas menyedari dirinya ditipu, dia membuat laporan polis.
Atas nasihat polis, mangsa meneruskan komunikasi dengan scammer bagi membantu siasatan. Suspek kemudian mendakwa mangsa perlu membuat bayaran tambahan sebanyak 700,000 baht untuk mengeluarkan semula modal yang telah dilaburkan.
Mangsa memaklumkan hanya mampu menyerahkan wang secara bersemuka, menyebabkan sindiket mengubah modus operandi mereka.
Sindiket dipercayai merekrut seorang rakyat Malaysia dikenali sebagai Dhani, yang bekerja sebagai penghantar makanan, untuk mengambil apa yang disangkanya sebagai “produk” di Thailand dengan tawaran bayaran lumayan.
Semua kos perjalanan termasuk tiket penerbangan, penginapan, pengangkutan dan makan minum ditanggung pihak yang menawarkan pekerjaan berkenaan.
Dhani diarahkan ke Wilayah Phetchaburi sebelum menerima satu sampul daripada mangsa. Bagaimanapun, sebaik sahaja sampul itu diterima, dia ditahan lebih 10 anggota Polis Thailand yang telah menjalankan operasi khas.
Menurut penterjemah kepada keluarga Dhani di Malaysia, Saifulnizam Muhamad, lelaki itu kini didakwa atas dua pertuduhan iaitu Penipuan Awam (Public Fraud) dan memasukkan maklumat palsu ke dalam sistem komputer mengikut Akta Jenayah Komputer Thailand.
“Namun, semakan pihak peguam setakat ini mendapati tiada bukti menunjukkan Dhani pernah berhubung secara langsung dengan mangsa melalui Facebook atau terlibat dalam proses memperdaya mangsa sehingga wang dipindahkan.
“Dia dipercayai hanya terlibat selepas diarahkan datang ke Thailand untuk mengambil bungkusan yang disangkanya sebagai produk,” katanya.
Saifulnizam menegaskan, kes itu menunjukkan taktik baharu sindiket scammer yang menggunakan individu lain sebagai “keldai” atau orang tengah untuk mengambil wang secara bersemuka, sekali gus mengelakkan ahli sindiket sendiri daripada terdedah kepada risiko ditahan pihak berkuasa.
“Akibatnya, mangsa tetap mengalami kerugian, manakala individu yang diperalatkan berdepan tindakan undang-undang walaupun berkemungkinan tidak mengetahui mereka sedang membantu operasi jenayah,” katanya.