
KUALA LUMPUR, 10 Julai – Sebanyak 12 kelab disahkan menyertai saingan Liga Super musim 2026-2027 yang dijadual membuka tirai pada 21 Ogos ini.
- Sebelas kelab disahkan: JDT, Kuching City, Selangor, Kuala Lumpur City, Terengganu, Star City, Negeri Sembilan, Penang, Sabah, DPMM, Melaka.
- FIB akan bersidang 16 Julai untuk tentukan status pelesenan PDRM FC; jika gagal, Kelantan Red Warrior akan mengisi slot.
- MFL menegaskan penyertaan hanya bagi kelab memenuhi syarat lesen, kewangan dan infrastruktur selaras pelaksanaan Financial Fair Play.
- Perlawanan Sumbangsih antara Johor Darul Ta'zim dan Kuching City di Stadium Sultan Ibrahim menjadi aksi pembukaan liga.
Manakala satu lagi slot bergantung kepada keputusan status pelesenan PDRM FC pada 16 Julai.
Sebelas kelab yang telah mengesahkan penyertaan ialah Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuching City FC, Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Terengganu FC, Star City FC, Negeri Sembilan FC, Penang FC, Sabah FC, DPMM FC dan Melaka FC.
Malaysian Football League (MFL) memaklumkan, First Instance Body (FIB) akan bersidang pada 16 Julai bagi menentukan status PDRM FC.
Kelab itu sebelum ini diberikan lesen berserta sekatan sehingga 15 Julai untuk melengkapkan keperluan kriteria kewangan dan infrastruktur.
“Keputusan FIB itu turut akan dipertimbangkan Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi menilai tahap kesediaan serta kelangsungan operasi PDRM FC sepanjang musim 2026-2027.
“Sekiranya PDRM FC gagal memenuhi syarat yang ditetapkan, slot terakhir Liga Super akan diisi Kelantan Red Warrior FC yang telah melengkapkan semua dokumen berkaitan kriteria kewangan,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Menurut MFL, penyertaan kelab yang memenuhi syarat pelesenan, kewangan dan infrastruktur selaras dengan pelaksanaan Financial Fair Play (FFP) dijangka memperkukuh ekosistem Liga Malaysia.
Saingan Liga Malaysia musim 2026-2027 akan membuka tirai menerusi Perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 21 Ogos.
Perlawanan itu turut menjadi aksi pembukaan Liga Super musim 2026-2027.
Sementara itu, saingan Piala FA dijadual berlangsung dari 1 September 2026 hingga 16 Januari 2027, diikuti Piala Malaysia bermula 22 Januari dengan perlawanan akhir dijadual pada 30 Mei 2027.
MFL Challenge Cup pula akan berlangsung dari Februari hingga April 2027.
MFL memaklumkan sebarang pindaan terhadap kalendar dan jadual pertandingan Liga Malaysia musim 2026-2027 adalah tertakluk kepada keputusan pihak penganjur.