Ribuan beri penghormatan terakhir kepada legenda kriket Afghanistan

Shapur Zadran dikebumikan selepas bertarung dengan penyakit gangguan sistem imun yang jarang berlaku/Foto VIORY

KABUL, 10 Julai – Ribuan penduduk menghadiri upacara pengebumian bekas pemain kriket Afghanistan, Shapur Zadran, yang meninggal dunia selepas bertarung dengan penyakit yang dihidapinya sejak beberapa bulan lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemergian Zadran dianggap kehilangan besar bagi Afghanistan dan komuniti kriket antarabangsa menurut Shahzada Masood.
  • Rakan sepasukan Uftab Alam memuji sumbangannya dalam membangunkan kriket Afghanistan dan menyeru generasi muda meneruskan legasinya.
  • ICC merakam takziah serta memuji peranan Zadran, yang membantu kemenangan sulung Afghanistan di Piala Dunia 2015.

Ahli keluarga, rakan seperjuangan dan peminat memberikan penghormatan terakhir kepada bekas pemain kebangsaan yang berusia 38 tahun itu.

Bekas Pengerusi Lembaga Kriket Afghanistan, Shahzada Masood, menyifatkan pemergian Zadran sebagai kehilangan besar bukan sahaja kepada Afghanistan, malah kepada komuniti kriket antarabangsa.

Rakan sepasukannya, Uftab Alam, berkata Zadran memainkan peranan penting dalam membangunkan sukan kriket di Afghanistan dan berharap generasi muda meneruskan legasi yang ditinggalkannya.

Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) turut merakamkan ucapan takziah sambil memuji sumbangan Zadran terhadap kebangkitan Afghanistan di pentas kriket dunia.

Zadran pernah membantu Afghanistan mencatat kemenangan sulung dalam sejarah Piala Dunia Kriket apabila menewaskan Scotland pada edisi 2015.

Zadran mengumumkan persaraan daripada kriket antarabangsa pada Januari tahun lalu selepas lebih sedekad mewakili Afghanistan di pentas dunia.

Dia meninggal dunia pada 7 Julai lalu selepas menjalani rawatan di sebuah hospital di New Delhi akibat penyakit yang menjejaskan sel darah dan sistem imun badan. – VIORY

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.