
JOHOR BAHRU, 10 Julai – Malaysia akan terus kekal aman, selamat dan cemerlang sekiranya isu perkauman serta fahaman ekstrem berasaskan kaum dapat dibendung.
- Nilai muafakat menjadi asas penting memperkukuh perpaduan masyarakat majmuk dan menjamin kestabilan negara.
- Kekuatan serta keselamatan negara bergantung pada kesediaan rakyat pelbagai kaum saling menghormati dan memahami.
- Dakwaan mengenai kedudukan orang Melayu dianggap tidak berasas kerana dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
- Perdana Menteri bangga dengan bangsa dan agama sendiri serta menghormati hak setiap individu, kata beliau pada Program Yok Merahkan Johor.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemahaman terhadap nilai muafakat menjadi asas penting dalam memperkukuh perpaduan masyarakat majmuk serta menjamin kestabilan negara.
Menurut beliau, kekuatan dan keselamatan negara bergantung kepada kesediaan rakyat pelbagai kaum untuk saling menghormati, memahami serta mempertahankan semangat muafakat.
Pada masa sama, beliau menegaskan dakwaan yang membangkitkan isu kedudukan orang Melayu adalah tidak berasas kerana perkara itu telah dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Saya Melayu, saya bangga dengan bangsa saya, saya bangga dengan agama saya. Tetapi pada masa yang sama, saya hormat dan mengiktiraf hak setiap individu serta setiap kaum di negara ini.”
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Yok Merahkan Johor di Johor Bahru, yang turut dihadiri calon Pakatan Harapan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.41 Puteri Wangsa, Dr. Maszlee Malik.