
LOS ANGELES, 9 Julai – Ketua pengadil FIFA, Pierluigi Collina mempertahankan mutu pengadilan dalam kemenangan 3-2 Argentina ke atas Mesir pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia.
- Collina menolak dakwaan berat sebelah; menegaskan integriti pegawai perlawanan tidak boleh dipersoal atau dipengaruhi sesiapa termasuk presiden FIFA.
- Beliau mengingatkan dakwaan tidak berasas boleh mendedahkan pengadil dan keluarga mereka kepada ancaman.
- Collina mempertahankan keputusan VAR, termasuk pembatalan gol Zico dan tiada penalti ke atas Salah; FIFA berpuas hati pelaksanaan VAR.
Beliau dalam masa sama menolak dakwaan berat sebelah dan menegaskan pegawai perlawanan telah menjalankan tugas dengan kebebasan sepenuhnya.
Dalam temu bual yang diterbitkan di inside.fifa.com pada Khamis, Collina berkata kritikan terhadap pengadil adalah sebahagian daripada bola sepak, namun beliau mengecam tindakan mempersoalkan integriti pegawai perlawanan selepas Mesir membantah mutu pengadilan susulan kekalahan mereka.
“Perbincangan membina mengenai keputusan pengadil akan sentiasa menjadi sebahagian daripada bola sepak, tetapi dakwaan tidak berasas tidak mempunyai tempat dalam sukan kita,” kata Collina.
“Tiada siapa boleh mempersoalkan integriti pegawai perlawanan Piala Dunia FIFA. Tiada siapa boleh mendakwa bahawa pengadilan FIFA boleh dipengaruhi oleh sesiapa pun, termasuk presiden FIFA (Gianni Infantino),” katanya.
Collina menegaskan, dakwaan sedemikian boleh menyebabkan ancaman terhadap pengadil serta keluarga mereka.
Mesir tersingkir daripada kejohanan itu, namun mendakwa mereka dilayan secara tidak adil selepas Argentina bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk mencatat kemenangan menerusi jaringan kemenangan Enzo Fernandez pada masa kecederaan.
Jurulatih Mesir, Hossam Hassan mendakwa selepas perlawanan bahawa mungkin terdapat tekanan terhadap pengadil untuk memastikan Argentina kekal dalam kejohanan itu.
Persatuan Bola Sepak Mesir pula memberitahu, beberapa insiden penting menimbulkan kebimbangan serius dan persoalan mendalam mengenai konsistensi serta keadilan keputusan yang secara langsung mempengaruhi perjalanan perlawanan.
Mesir berhujah bahawa jaringan Mostafa Zico pada separuh masa kedua dibatalkan secara tidak tepat kerana kekasaran yang menurut mereka tidak wujud dalam gerakan serangan tersebut.
Mesir turut berang apabila cabaran terhadap Mohamed Salah tidak diberikan penalti beberapa ketika sebelum Argentina melancarkan gerakan yang menghasilkan gol kemenangan.
Collina berkata, VAR telah membuat cadangan yang tepat untuk membatalkan jaringan Zico selepas mengenal pasti kekasaran oleh Marwan Attia terhadap pemain pertahanan Argentina, Lisandro Martinez.
“Kami percaya bahawa kekasaran tetap menjadi kekasaran.
“Tidak kira sama ada kekasaran itu kelihatan ‘jelas’, jika pengadil tidak melihatnya di padang, VAR boleh campur tangan,” kata Collina.
Collina turut mempertahankan keputusan untuk tidak memberikan penalti kepada Mesir sebelum gol kemenangan Argentina, dengan berkata pengadil dan VAR menilai sentuhan antara Salah dengan Julian Alvarez sebagai sentuhan biasa dalam bola sepak.
“Memijak kaki lawan adalah satu kekasaran, manakala pemain pertahanan yang menyentuh bola terlebih dahulu dan kemudian berlaku sentuhan biasa dalam bola sepak adalah tidak melakukan kekasaran,” katanya.
Walaupun mengakui sesetengah keputusan sentiasa melibatkan unsur subjektiviti, Collina berkata FIFA berpuas hati dengan cara prinsip penggunaan VAR dilaksanakan sepanjang kejohanan itu. – AFP