Polis tahan lima individu, rampas bunga ganja bernilai RM13.34 juta

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar (tengah) dalam sidang media di Shah Alam. Foto/Bernama

SHAH ALAM, 9 JULAI – Polis menumpaskan empat aktiviti pengedaran dadah jenis bunga ganja dengan rampasan keseluruhan bernilai RM13.34 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Kota Warisan, Sepang antara 29 Jun hingga 4 Julai lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lima suspek ditahan, termasuk tiga lelaki (dua warga asing) dan dua wanita tempatan; umur 25 hingga 40 tahun.
  • Jumlah 166.2 kg bunga ganja dirampas daripada beberapa rampasan, ditemui dalam bagasi dan di unit kediaman sewa.
  • Kenderaan dipercayai untuk penghantaran disita; beberapa suspek ada rekod lampau, dua positif amphetamine/methamphetamine dan seorang positif THC; direman 7 hingga 14 hari.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata hasil operasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA dengan kerjasama Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) itu turut menahan tiga lelaki termasuk dua warga asing serta dua wanita tempatan, kesemuanya berusia antara 25 hingga 40 tahun.

Katanya, pada 29 Jun, seorang lelaki warga asing berusia 25 tahun ditahan di KLIA Terminal 1 selepas pemeriksaan pada dua bagasinya menemukan 60 bungkusan bunga ganja seberat 33.6 kilogram (kg).

“Pada hari sama, polis turut menahan seorang wanita tempatan berusia 35 tahun di terminal itu selepas menemukan 39 bungkusan bunga ganja seberat 21.1 kg dalam satu bagasi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini.

Mengulas lanjut, Datuk Shazeli berkata, pada 3 Julai, pihaknya turut menahan sepasang suami isteri warga tempatan berusia 40 dan 31 tahun di kawasan parkir sebuah kondominium di Kota Warisan sebelum menemukan 146 bungkusan bunga ganja seberat 76 kg di unit kediaman disewa mereka.

Polis juga menyita sebuah kenderaan bernilai RM20,000 dipercayai digunakan pasangan terbabit bagi aktiviti penghantaran dadah.

“Pada keesokannya (4 Julai), seorang lelaki dari Eropah berusia 27 tahun ditahan selepas polis merampas 68 bungkusan bunga ganja seberat 35.5 kg daripada dua bagasi dibawanya di KLIA,” katanya sambil menambah keseluruhan 166.2 kg bunga ganja dirampas dianggarkan bernilai RM13.34 juta.

Semakan mendapati tiga suspek tempatan itu memiliki rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah, sementara seorang wanita terlibat didapati positif amphetamine dan methamphetamine, manakala seorang lelaki tempatan positif THC.

Kesemua suspek kini direman antara tujuh hingga 14 hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-Bernama

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.