SPRM teliti dakwaan aset hartanah mewah dikaitkan 1MDB

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman. Foto/Bernama

PUTRAJAYA, 9 JULAI – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung dakwaan pemilikan dan pemindahan aset hartanah mewah bernilai kira-kira AS$13 juta di luar negara yang dipercayai mempunyai kaitan dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

RINGKASAN BERITA AI
  • SPRM buka kertas siasatan menerusi Op Agam sejak 16 Jun; fokus mengenal pasti pemilik akaun, meneliti dokumen dan mengesahkan ketulenan dakwaan.
  • Kerjasama dengan agensi penguatkuasaan dalam dan luar negara bagi mendapatkan maklumat pemilikan serta aliran pemindahan aset.
  • Dalam Op Daya, SPRM menahan 98 individu; 69 kertas siasatan dicadangkan untuk pendakwaan; 36 akaun dibekukan dan harta disita.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata, siasatan dijalankan menerusi Op Agam bermula 16 Jun lalu bagi mengenal pasti kemungkinan wujud unsur rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

“Peringkat awal pihak kami perlu mengenal pasti dahulu identiti sebenar pemilik akaun yang menyiarkan berita dalam portal tersebut. Kedua kami perlu fokus untuk meneliti kesahihan dokumen yang dikepilkan bersama laporan tersebut.

“Dan ketiga kami perlu mengesahkan terlebih dahulu ketulenan dakwaan sebelum menentukan apa tindakan selanjutnya yang boleh diambil,” katanya dalam satu sidang media di sini.

Beliau menambah, SPRM turut bekerjasama dengan agensi penguat kuasa serta rakan sejawat di dalam dan luar negara bagi mendapatkan maklumat mengenai pemilikan serta aliran pemindahan aset terbabit.

Siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan AMLATFAPUAA 2001, dengan tumpuan diberikan kepada usaha mengesan serta memulihkan aset bernilai tinggi yang dipercayai mempunyai kaitan dengan hasil aktiviti haram, termasuk dana 1MDB.

Sementara itu, Datuk Seri Abdul Halim mendedahkan, seramai 98 individu termasuk 87 pemilik syarikat dan 11 ejen ditahan SPRM dalam Op Daya, susulan dakwaan tuntutan palsu bagi mendapatkan insentif penggajian kerajaan.

Mereka ditahan selepas siasatan mendapati, beberapa syarikat dipercayai mengisytiharkan individu sebagai pekerja, sedangkan mereka tidak pernah bekerja dengan syarikat terbabit.

“Dari 81 kertas siasatan, kami telah merumuskan 69 kertas siasatan untuk disyorkan bagi dituduh di mahkamah, dan keduanya terdapat 6 kertas siasatan dibuka tertakluk tindakan tatakelola khususnya berkaitan prosedur pemulangan wang dan 5 kes dicadangkan NFA”, katanya dalam sidang media khas di sini.

Setakat 6 Julai, 77 individu telah direman dan 724 individu dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

SPRM turut membekukan 36 akaun bank syarikat bernilai RM463,076.92 serta menyita harta seperti emas, wang tunai dan lain-lain yang bernilai RM74,198.00

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.