‘Halal Home Grown Champion’ bantu 313 syarikat tempatan dengan potensi jualan hampir RM188 juta

Foto HDC

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Program Halal Home Grown Champion-Sourcing Partnership 2.0 membantu 313 syarikat tempatan menjana potensi jualan berjumlah RM187.91 juta sepanjang pelaksanaannya bagi tempoh 2024 hingga 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program HDC merupakan intervensi bersasar membantu PMKS meningkatkan daya saing dan mengembangkan perniagaan dalam industri halal.
  • MIHAS edisi ke-22 di MITEC pada 23 hingga 26 September 2026 menyediakan 2,400 reruai, menjangkakan lebih 1,000 syarikat PMKS.
  • Strategi kerajaan 2026 memberi tumpuan membantu PMKS menembusi pasaran baharu, meningkatkan nilai tambah produk dan mengurangkan kebergantungan pasaran tradisional.
  • Malaysia kekal peneraju industri halal global melalui pensijilan halal dipercayai, ekosistem menyeluruh dan pelaksanaan strategi pemerkasaan PMKS.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan daripada jumlah itu, 158 syarikat merupakan milikan bumiputera, manakala 52 syarikat dimiliki wanita.

Kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini memaklumkan, program berkenaan merupakan inisiatif intervensi bersasar bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan meningkatkan daya saing serta mengembangkan perniagaan dalam industri halal.

Dalam pada itu, kerajaan menerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia akan menganjurkan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) edisi ke-22 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dari 23 hingga 26 September 2026.

“Sebanyak 2,400 reruai pameran akan disediakan, dengan lebih 1,000 syarikat PMKS tempatan dijangka memanfaatkan peluang perniagaan yang ditawarkan menerusi pameran berkenaan,” MITI menyatakan demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai strategi kerajaan pada 2026 untuk membantu PMKS halal menembusi pasaran baharu, meningkatkan nilai tambah produk serta mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional.

Menurut kementerian itu lagi, Malaysia mempunyai asas yang kukuh untuk terus mengekalkan kedudukan sebagai antara peneraju industri halal global menerusi pensijilan halal yang diyakini, ekosistem halal yang menyeluruh serta pelaksanaan strategi yang memfokuskan kepada penerokaan pasaran baharu dan pemerkasaan PMKS.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.