SSN Pahang optimis mara ke suku akhir

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 8 Julai – SSN Pahang Junior Girls membuka peluang cerah untuk mara lebih jauh dalam saingan TNB Liga Hoki Remaja Malaysia TNB MJHL 2026 (kategori wanita) selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas PHJ SSN Johor dalam aksi Kumpulan A di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemenangan menghidupkan sasaran pasukan untuk layak ke peringkat suku akhir.
  • Sasaran awal hanya melepasi peringkat kumpulan; sebagai naib juara, kini mahu menang di suku akhir.
  • Pasukan akan memperkemaskan penyudah dan aspek taktikal sepanjang tempoh persediaan.
  • SSN Pahang menguasai permainan; gol oleh Putri Rania (sudut penalti) dan Nur Safiyyah (jaringan padang) tentukan kemenangan.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Ketua Jurulatih SSN Pahang Junior Girls, Siti Fatimah Mohamed Arof menghidupkan sasaran pasukan untuk melangkah ke peringkat suku akhir kejohanan.

“Perlawanan ini sangat penting bagi memastikan kami layak ke suku akhir. Sasaran awal kami hanya untuk melepasi saingan peringkat kumpulan kerana pasukan ini merupakan skuad pembangunan bawah 16 tahun.

“Bagaimanapun, kami berjaya muncul naib juara kumpulan, maka sasaran kami selepas ini adalah untuk menang di peringkat suku akhir,” katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.

Menurut Siti Fatimah, pasukannya akan menggunakan tempoh persediaan seterusnya untuk memperkemaskan kelemahan skuad terutama dari aspek penyudah dan taktikal.

Beliau berharap pasukannya mampu mencipta pencapaian terbaik dalam penampilan mereka pada kejohanan musim ini.

Pada perlawanan itu, SSN Pahang tampil lebih tersusun sejak awal permainan apabila menguasai penguasaan bola dan melancarkan serangan berterusan ke kubu PHJ SSN Johor.

Dominasi itu membuahkan hasil pada minit ke-10 apabila Putri Rania Farhani Mohd Herman menyempurnakan pukulan sudut penalti sebelum Nur Safiyyah Imani Nursamsi menggandakan kelebihan lapan minit kemudian menerusi jaringan padang.

Kelebihan dua gol pada suku pertama memberi ruang kepada SSN Pahang mengawal tempo permainan, manakala PHJ SSN Johor yang cuba bangkit gagal mencari jaringan untuk mengubah kedudukan sehingga tamat perlawanan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.