Petani, penternak Kedah sambut baik BUDI Diesel RM2.10 seliter

Mohd Shahrim Che Ahmad, Mohd Zakirin Zakaria, Mohd Fawwaz Aysraf Azam/ RTM

POKOK SENA, 7 Julai- Golongan petani dan penternak di Pokok Sena, Kedah menyambut baik pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pada harga RM2.10 seliter yang mula berkuat kuasa 1 Julai lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Subsidi diesel melalui MyKad mengurangkan beban kos operasi petani dan penternak, terutamanya untuk kenderaan serta jentera.
  • Pelaksanaan subsidi membolehkan semula penggunaan pacuan empat roda, lori dan jentera bagi menyokong aktiviti harian.
  • Kuota 20 liter sehari sebelum ini tidak mencukupi, menyebabkan pengeluaran hasil berkurang kerana perlu berjimat diesel.
  • Penternak berharap kuota bulanan dapat ditambah untuk angkut dedak dan keperluan operasi harian.

Mereka menyifatkan pelaksanaan subsidi diesel menerusi mekanisme penggunaan MyKad itu dapat membantu mengurangkan beban kos operasi, terutama melibatkan penggunaan kenderaan dan jentera bagi aktiviti pertanian serta penternakan.

Mohd Shahrim Che Ahmad, penternak berkata, penetapan harga diesel bersubsidi itu membolehkan kenderaan seperti pacuan empat roda dan lori digunakan semula bagi menyokong aktiviti harian.

“Kurangkan bebanlah, bukan kata sikit, kurang banyak. Kenderaan ini hari-hari digunakan, lori, kereta semua berjalan. Alhamdulillah boleh pakai balik (pacuan empat roda),” katanya.

Sementara itu, Mohd Zakirin Zakaria, penternak dan petani berkata, diesel merupakan keperluan harian bagi menggerakkan kenderaan pikap, lori serta jentera termasuk pam enjin air untuk kegunaan di kebun.

“Sebelum ini pengeluaran hasil saya kurang sebab saya kena jimat dalam penggunaan diesel kerana kuota 20 liter sehari tidak mencukupi. Alhamdulillah pada 1 Julai lalu kerajaan membawa turun harga diesel kepada RM2.10 dan kita bersyukur, ekonomi kita berjalan seperti biasa,” katanya.

Mohd Zakirin berkata penggunaan diesel pada harga baharu itu memberi ruang kepada pengusaha pertanian dan penternakan meneruskan aktiviti harian tanpa perlu mengehadkan penggunaan bahan api.

Dalam pada itu, Mohd Fawwaz Aysraf Azami, penternak berharap kerajaan mempertimbangkan penambahan kuota diesel bulanan berikutan keperluan penggunaan kenderaan diesel setiap hari bagi mengangkut makanan ternakan dan keperluan operasi.

“Penggunaan kami hari-hari guna pikap untuk ambil dedak dan semua keperluan. Harapan kami daripada penternak dan petani supaya kuota dapat ditambah sedikit lagi,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan pelaksanaan harga diesel bersubsidi RM2.10 seliter dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 400,000 pemilik kenderaan di Semenanjung serta 300,000 lagi di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Jumlah itu merupakan peluasan berbanding BUDI Diesel Individu sebelum ini yang hanya melibatkan kira-kira 180,000 penerima bantuan tunai bulanan di Semenanjung Malaysia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.