
KUALA LUMPUR, 7 Julai – Perkembangan platform digital mengubah landskap penyebaran maklumat apabila masyarakat kini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada media Barat untuk
mendapatkan gambaran mengenai konflik Israel-Palestin.
- Platform digital mengubah landskap maklumat, mengurangkan kebergantungan kepada media Barat dan membuka pelbagai sumber serta perspektif konflik.
- Pengguna bukan lagi pasif; media sosial menggerakkan sokongan generasi muda dan memberi tekanan kepada media arus perdana untuk liputan lebih menyeluruh.
- Media tempatan perlu melapor berdasarkan perspektif kebangsaan, menunaikan tanggungjawab moral dan menyokong usaha mewujudkan Palestin yang berdaulat.
Sebaliknya, mereka kini boleh mengakses pelbagai sumber berita dan pandangan dari seluruh dunia.
Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata kemajuan teknologi digital sejak lebih sedekad lalu menjadikan masyarakat lebih kritis dalam menilai isu antarabangsa kerana mereka berupaya menyemak serta membandingkan maklumat daripada pelbagai platform.
“Sepanjang hampir dua dekad saya berada dalam industri media, pelaporan mengenai konflik khususnya di negara-negara Islam sering dilaporkan daripada sudut pandang yang berbeza antara
media Barat dan media Timur.
“Jika dahulu masyarakat banyak bergantung kepada laporan media antarabangsa, khususnya media Barat, untuk memahami konflik di Asia Barat, hari ini sesiapa sahaja boleh berkongsi maklumat dan menjadi sebahagian daripada perbincangan global.
“Saya melihat perkembangan platform digital sebagai sesuatu yang positif kerana ia membolehkan kita memahami pandangan, sentimen dan reaksi masyarakat terhadap apa yang berlaku di
lapangan, khususnya di Palestin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel forum akademik bertajuk Western Media Framing of the Middle East: Narrative Power, Media Law and Implication for Malaysia anjuran Fakulti
Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam yang berlangsung secara dalam talian.

Menurut Ashwad, perubahan landskap media menjadikan masyarakat bukan lagi sekadar penerima berita secara pasif, malah turut berperanan sebagai penyumbang kepada perbincangan awam.
“Hari ini kita mempunyai pelbagai platform untuk menyuarakan pendirian, berkongsi pandangan, pengetahuan dan pengalaman.
Perkembangan ini memberi ruang kepada masyarakat untuk terlibat secara langsung dalam perbincangan mengenai sesuatu isu,” katanya.
Beliau berkata konflik Palestin-Israel yang memuncak selepas serangan pada 7 Oktober 2023 turut menjadi titik perubahan dalam cara masyarakat mengikuti dan memahami isu antarabangsa menerusi platform digital.
Katanya, berdasarkan tinjauan di Amerika Syarikat (AS), lebih 60 peratus Generasi Z dilaporkan menyatakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.
“Ini merupakan sesuatu yang luar biasa kerana kita tidak pernah melihat perubahan seperti ini sebelum ini. Landskap perbincangan telah berubah apabila generasi muda semakin lantang menyuarakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.
“Pengaruh masyarakat di media sosial juga memberi tekanan kepada media arus perdana antarabangsa untuk memberikan liputan yang lebih menyeluruh terhadap konflik Palestin-Israel,”
katanya.
Ashwad, yang juga nyaris terkena tembakan rejim Israel dalam misi Mavi Marmara pada 2010, berkata perkembangan tersebut turut mencabar dominasi naratif media Barat apabila masyarakat kini mempunyai lebih banyak pilihan sumber maklumat.

Mengulas kesannya terhadap Malaysia, beliau berkata organisasi media tempatan perlu terus melaporkan konflik berdasarkan perspektif nasional yang selari dengan dasar luar negara.
Menurutnya, sebagai penyiar awam, Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertanggungjawab mencerminkan pendirian rasmi Malaysia yang secara konsisten menyokong perjuangan rakyat Palestin.
Pada masa sama, Ashwad menegaskan media mempunyai tanggungjawab moral untuk memastikan isu kemanusiaan di negara-negara Islam terus mendapat perhatian masyarakat antarabangsa.
“Bagi isu Palestin, Sudan serta kawasan sempadan Pakistan-Afghanistan, kita tidak boleh menggunakan pendekatan yang sama untuk semua konflik kerana setiap situasi mempunyai latar
belakang dan konteks yang berbeza,” jelasnya.
Katanya, dalam konflik yang telah berlarutan lebih lapan dekad, media tidak seharusnya bersikap berkecuali terhadap isu kemanusiaan di Palestin.
“Kita bebas untuk mengambil pendirian. Konflik Palestin telah berlarutan selama lebih lapan dekad dan ia bukan isu yang boleh dipandang ringan. Kita perlu memastikan sebuah negara
Palestin yang berdaulat dan merdeka dapat diwujudkan, selain menjamin keamanan serta membebaskan rakyat Palestin daripada kekejaman rejim Israel,” katanya.
Forum akademik anjuran pelajar pascasiswazah kursus COM733-International Communication itu dihadiri lebih 25 mahasiswa serta menghimpunkan ahli akademik dan pengamal media.