RUU Akta Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) dibentang, penalti dinaikkan sehingga RM1 juta

Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Julai – Rang Undang-Undang (RUU) Akta Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini, dengan cadangan memperluaskan kuasa penetapan harga padi dan beras dan menaikkan penalti sehingga RM1 juta terhadap pihak yang melanggar peruntukan itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pindaan Akta melibatkan lima fasal utama menurut naskhah biru yang dimuat naik di portal rasmi Parlimen.
  • Fasal 3 mencadangkan peningkatan denda terhadap individu dan syarikat termasuk kadar lebih tinggi untuk kesalahan berulang.
  • Fasal 2 dan 4 memberi kuasa kepada Ketua Pengarah dan Menteri menetapkan gred beras, melesenkan pembeli dan mengawal harga mengikut gred.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bacaan kali kedua dan ketiga RUU itu akan diteruskan pada persidangan kali ini.

Menurut naskhah biru yang dimuat naik di portal rasmi Parlimen, pindaan terhadap Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) melibatkan lima fasal utama.

Antara cadangan utama ialah pindaan Seksyen 22 menerusi Fasal 3 yang meningkatkan kadar penalti bagi kesalahan di bawah akta itu atau mana-mana peraturan yang tidak mempunyai hukuman khusus.

“Bagi individu, termasuk pengarah atau pegawai sesebuah syarikat, denda maksimum dicadangkan dinaikkan daripada RM15,000 kepada RM250,000. Bagi kesalahan berulang, denda maksimum meningkat kepada RM500,000 berbanding RM25,000 ketika ini.

Bagi syarikat pula, denda maksimum dicadangkan dinaikkan daripada RM25,000 kepada RM500,000. Jika kesalahan diulang, denda maksimum meningkat kepada RM1 juta berbanding RM50,000 sebelum ini,” menurut RUU tersebut.

RUU itu turut mencadangkan pindaan kepada perenggan 4(2)(c) menerusi Fasal 2 bagi memberi kuasa kepada Ketua Pengarah, dengan kelulusan Menteri, untuk menetapkan harga maksimum atau minimum bagi padi dan beras.

“Cadangan itu dibuat susulan pindaan kepada Seksyen 29 yang memberi kuasa kepada Menteri menetapkan gred beras serta kawalan harga mengikut gred berkenaan,” menurut RUU itu.

Selain itu, Fasal 4 memberi kuasa kepada Menteri menggubal peraturan berkaitan pelesenan pembeli padi, penetapan gred beras, kawalan harga beras mengikut gred serta pengawalseliaan pemindahan padi dan beras.

Mana-mana pihak yang melanggar peraturan itu boleh didenda sehingga RM15,000 atau dipenjara tidak melebihi enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Fasal 5 menetapkan siasatan atau prosiding yang telah dimulakan sebelum akta pindaan ini berkuat kuasa akan diteruskan mengikut peruntukan Akta 522 sedia ada.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.