
TOKYO, 7 Julai – Gergasi automotif Jepun, Toyota, pada Selasa mengumumkan bakal memindahkan operasi pengeluaran trak pikap saiz pertengahannya, Tacoma, dari Mexico ke Amerika Syarikat (AS).
- Toyota labur AS$3.6 bilion (kira-kira RM16.2 bilion) di kilang Texas sebagai sebahagian pelan pelaburan besar.
- Pembinaan pemasangan kedua di kilang San Antonio dijangka membuka lebih 2,000 pekerjaan dan tambah kapasiti tahunan 150,000 unit.
- Peralihan rantaian bekalan didorong oleh ketidaktentuan perdagangan selepas Washington umum semakan tahunan USMCA dan kenaikan tarif import.
Langkah strategik berkenaan sebahagian daripada pelan pelaburan besar-besaran bernilai AS$3.6 bilion (kira-kira RM16.2 bilion) di kilang miliknya yang terletak di Texas.
Pengumuman mengejut itu dibuat hanya beberapa hari selepas Washington memutuskan untuk tidak memperbaharui pakatan perdagangan Amerika Utara bersama Mexico dan Kanada, sekali gus mencetuskan ketidaktentuan dalam pasaran perniagaan serantau.
November lalu, Toyota pernah menyatakan perancangan mereka untuk melabur hingga AS$10 bilion di AS bagi tempoh lima tahun akan datang.
Sebagai pengeluar kenderaan terbesar di dunia berdasarkan jumlah jualan, Toyota merancang untuk membina pemasangan kedua di kilang San Antonio miliknya.
Langkah tersebut dijangka bakal membuka lebih 2,000 peluang pekerjaan baharu selain meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 150,000 unit.
“Pelaburan ini bertujuan untuk memperkukuh lagi sistem pengeluaran Toyota yang berdaya saing serta berakar umbi di peringkat tempatan,” jelas syarikat itu dalam satu kenyataan rasmi hari ini.
Jelasnya, pemasangan baharu itu dijangka mula beroperasi sepenuhnya menjelang tahun 2030.
Toyota bersama beberapa pengeluar automotif utama lain kini dilihat mula mengalihkan rantaian pengeluaran mereka kembali ke AS.
Tindakan ini diambil ekoran langkah Presiden Donald Trump yang menaikkan tarif ke atas import automotif, keluli dan aluminium.
Sebelum ini, kebanyakan pengeluar kereta global termasuk syarikat pengeluar dari AS sendiri memilih untuk membuka kilang di Mexico bagi memanfaatkan pelbagai perjanjian perdagangan bebas, termasuk Perjanjian AS-Mexico-Kanada (USMCA) yang sedang berkuat kuasa.
Walaupun pakatan USMCA tersebut berbaki tempoh 10 tahun lagi, tindakan Washington pada minggu lepas yang mengumumkan bahawa perjanjian itu kini akan disemak secara tahunan dijangka bakal menjejaskan sentimen dan keyakinan para pelabur.
Di sebalik ketidaktentuan pasaran, saham Toyota mencatatkan peningkatan sebanyak 1.3 peratus pada sesi dagangan pagi, ketika indeks penanda aras Nikkei pula mengalami kejatuhan sebanyak 1.2 peratus.- AFP