Puluhan ribu penduduk Kepulauan Pasifik AS bergelap dibadai taufan super

Foto FAIL

GUAM, 7 Julai – Puluhan ribu penduduk di Guam dan Kepulauan Mariana Utara dilaporkan terputus bekalan elektrik pada Selasa selepas wilayah pasifik milik Amerika Syarikat (AS) itu dibadai taufan super.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiada kehilangan nyawa dilaporkan setakat ini.
  • Pulau Rota menerima impak paling teruk selepas dibadai terus oleh Taufan Super Bavi awal Isnin.
  • Bavi membawa angin hingga 290 kilometer sejam, menjejaskan bekalan elektrik dan air bersih.
  • Bekalan elektrik turut terputus di Saipan dan Tinian; pasukan penyelamat membuka laluan untuk kenderaan kecemasan.

Bagaimanapun, tiada sebarang kehilangan nyawa dilaporkan setakat ini.

Kawasan yang menerima impak paling teruk ialah pulau kecil Rota apabila ia dibadai secara langsung oleh Taufan Super Bavi pada awal pagi Isnin.

Taufan berkenaan membawa angin kencang  selaju 290 kilometer sejam hingga menjejaskan bekalan elektrik serta air bersih.

Jurucakap Pusat Operasi Perbandaran di Rota, Lou Rosari, mengesahkan perkara itu pada pagi Selasa dan menyatakan situasi masih belum berubah.

“Meskipun kemusnahan infrastruktur agak teruk, penduduk lega kerana tiada kemalangan jiwa berlaku,” demikian menurut Senator Rota, Donald M. Manglona.

“Pasukan penyelamat dan kru penyelenggaraan jalan raya kami masih berada di lapangan bagi membuka laluan. Ini penting supaya kenderaan kecemasan dapat keluar dan masuk,” ulas beliau sambil menambah bekalan air dan elektrik masih belum pulih.

Selain pulau Rota, pihak berkuasa mengesahkan bekalan elektrik turut terputus di Saipan dan Tinian iaitu dua pulau utama di Kepulauan Mariana Utara.

Situasi sama turut menjejaskan beberapa bahagian di pulau berhampiran, Guam, yang menempatkan pangkalan tentera udara serta laut utama negara terbabit.

Bagaimanapun, impak kerosakan di pulau berkenaan dilaporkan tidak seburuk berbanding bencana Taufan Super Sinkalu yang pernah melanda rantau terbabit pada April lalu.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.