
Putrajaya, 7 Julai – Kajian khusus sedang dilakukan bagi meneliti mekanisme perlindungan yang lebih menyeluruh kepada mangsa jenayah siber.
- BHEUU menjalankan kajian untuk memberi keadilan dan melindungi hak mangsa jenayah siber.
- Langkah dikaji termasuk membantu mangsa penipuan dalam talian mendapatkan semula wang dan memperkenalkan hukuman lebih tegas.
- Kajian menilai amalan antarabangsa seperti gantian atau pampasan serta kesesuaian pelaksanaan di Malaysia, fokus kepada hak mangsa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kajian yang dijalankan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) itu bertujuan memberi keadilan dan hak kepada mangsa.
Beberapa perkara dikaji termasuk langkah bagi membantu mangsa penipuan dalam talian mendapatkan semula wang yang hilang selain hukuman lebih tegas.
BHEUU juga akan meneliti amalan terbaik dari negara luar dalam melindungi hak mangsa, selain menilai kesesuaian pelaksanaannya di Malaysia.
“Kalau kita lihat undang-undang di negara luar.. ada negara yang memberikan gantian atau pampasan kepada mangsa yang mengalami kerugian. Perkara ini yang perlu dikaji dan dilihat dengan lebih dalam untuk undang-undang di Malaysia.”
“Kita lihat terlalu banyak undang-undang yang terbentang hanya melibatkan institusi besar dan juga bank.
“Kajian ini akan memberi pengkhususan dalam melihat elemen dari sudut hak mangsa itu sendiri,” ujar Datuk Azalina.
Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Siber Kebangsaan (NCSS) 2026 di sini, hari ini.
Majlis dilancarkan oleh Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin.
NCSS 2026 berlangsung hingga 9 Julai (Khamis).