
KUALA LUMPUR, 6 Julai – Seramai 554 individu ditahan menerusi 422 serbuan Op Soga XI di seluruh negara, dalam membanteras kegiatan perjudian tanpa lesen, sempena Piala Dunia 2026.
- Polis rampas wang tunai RM167,062.09 dan kesan nilai pertaruhan RM3.24 juta.
- Aktiviti promosi perjudian melalui laman web dan media sosial dipantau; 263 platform dikesan digunakan.
- Kerjasama strategik dengan MCMC untuk sekatan laman web dan penurunan kandungan dijalankan.
- Kes disiasat mengikut Akta Pertaruhan 1953, Akta Imigresen dan AMLATFPUAA bagi pengubahan wang haram.
Kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar memaklumkan kesemua suspek yang ditahan disyaki terbabit dalam kegiatan pertaruhan haram dan perjudian dalam talian melibatkan warga tempatan dan asing.
“Sepanjang operasi, wang tunai berjumlah RM167,062.09 dirampas dan polis mengesan nilai pertaruhan berjumlah RM3.24 juta.
“Kesemua serbuan yang dilaksana telah mendapat kerjasama strategik pelbagai agensi berkepentingan terutama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya.
Beliau turut memaklumkan promosi serta pengiklanan perjudian menerusi laman sesawang dan media sosial, dipantau.
“Sebanyak 263 laman sesawang, platform, aplikasi dan media sosial dikesan digunakan bagi kegiatan pertaruhan bola sepak serta promosi perjudian.
“Tindakan sekatan laman web serta penurunan kandungan akan dibuat dengan bantuan MCMC,”menurut kenyataan itu lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953 kerana bertaruh di rumah pertaruhan terbuka atau dengan pengutip pertaruhan; Seksyen 6(3) akta sama terhadap individu bertindak sebagai pengutip pertaruhan serta Seksyen 4(1)(c) kerana menjaga, mengurus atau membantu menguruskan tempat pertaruhan.
Sementara itu, bagi kesalahan mempromosikan atau mengiklankan aktiviti perjudian disiasat mengikut Seksyen 4(1)(e) Akta Pertaruhan 1953, manakala warga asing yang ditahan turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa pas atau permit yang sah.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” katanya.