
KUALA LUMPUR, 6 Julai – Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Persaingan (Pindaan) 2026 yang bertujuan memperkukuh fungsi pentadbiran dan kecekapan operasi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) serta memastikan keseluruhan kerangka perundangan persaingan negara dikuatkuasakan secara menyeluruh.
- RUU diluluskan dengan lebih suara menyokong selepas perbahasan melibatkan 12 Ahli Parlimen.
- 34 pindaan memperkukuh fungsi pentadbiran dan kecekapan operasi MyCC serta penguatkuasaan rangka persaingan.
- Kuasa MyCC mendapatkan maklumat diperluas termasuk untuk pelaksanaan kajian semula pasaran dan analisis komprehensif.
- Seksyen 4 dan 10 memperincikan kawalan terhadap pakatan harga, pasaran, pengeluaran, penipuan bida dan penyalahgunaan dominan.
RUU diluluskan dengan lebih suara menyokong selepas dibahaskan 12 Ahli Parlimen yang mengambil bahagian.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan RUU yang merangkumi 34 pindaan itu amat penting bagi mempertingkat keupayaan menangani kegiatan kartel yang semakin kompleks serta tersusun.
“Melalui reformasi undang-undang yang dibawa menerusi dua Rang Undang-Undang (RUU) ini, kuasa untuk menghendaki pemberian maklumat turut melibatkan aspek kajian semula pasaran.
“Langkah itu bertujuan memastikan peranan MYCC dapat diperkukuh, khususnya melalui kuasa mendapatkan maklumat yang diperlukan.
“Dengan adanya kuasa tersebut, setiap kajian semula pasaran yang dilaksanakan MYCC akan menjadi lebih komprehensif dan holistik dalam menangani isu pelaksanaan sebelum ini,”katanya ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan di Dewan Rakyat.
Tambah beliau, skop perundangan di bawah Seksyen 4 dan Seksyen 10 Akta Persaingan yang sedia ada jelas memperincikan bidang kuasa kawalan terhadap pakatan harga, pasaran, pengeluaran, penipuan bida serta penyalahgunaan kedudukan dominan atau monopoli.
Menerusi pindaan terbaharu itu, jelasnya kuasa MyCC untuk mendapatkan maklumat kini turut diperluaskan, termasuk merangkumi pelaksanaan kajian semula pasaran.