Skuad hoki veteran terima dana RM1.36 juta hadapi Piala Dunia Masters

RTM

KUALA LUMPUR, 6 Julai- Skuad hoki veteran negara menerima suntikan dana berjumlah RM1.36 juta bagi menghadapi Kejohanan Piala Dunia Hoki Masters 2026 di Belanda dan Belgium dari 22 Julai hingga 16 Ogos ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dana akan digunakan untuk menampung kos penginapan, perjalanan dan persiapan kontinjen serta program menghadapi kejohanan dan program akan datang.
  • Sumbangan juga membantu bekas pemain kebangsaan yang berdepan kekangan kewangan supaya dapat kembali menyarung jersi skuad veteran.
  • Malaysia akan bertanding dalam lima kategori umur 40, 45, 50, 60 dan 65 tahun pada Piala Dunia Hoki Masters.

Presiden Persatuan Hoki Veteran Malaysia Sultan Ahmad Shah (SAS), Tengku Arif Temenggong Tengku Fahad Mu’adzam Shah berkata dana hasil sumbangan pelbagai pihak itu akan digunakan bagi menampung kos keseluruhan kontinjen negara yang akan beraksi dalam lima kategori umur.

Tengku Fahad bertitah dana tersebut meliputi kos penginapan, perjalanan dan persiapan pasukan, selain membantu bekas pemain kebangsaan yang berdepan kekangan kewangan untuk kembali mewakili negara.

“Dana yang dikumpulkan ini akan digunakan bagi menampung kos penginapan, perjalanan serta persiapan menghadapi kejohanan dan program akan datang.

“Pada masa sama, kami berharap dapat membantu bekas pemain kebangsaan yang berdepan kekangan kewangan agar mereka dapat kembali menyarung jersi skuad hoki veteran Malaysia dan terus menyumbang kepada negara,” titah baginda.

Tengku Fahad bertitah demikian selepas Majlis Santapan Minum Petang Diraja sempena pengumuman kutipan dana bagi kejohanan itu, di sini hari ini.

Majlis berkenaan diserikan dengan keberangkatan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku penaung SAS.

Pada kejohanan itu, Malaysia akan bertanding dalam kategori umur 40, 45, 50, 60 dan 65 tahun yang berlangsung di beberapa venue di Belanda dan Belgium.

Piala Dunia Hoki Masters merupakan kejohanan dwitahunan paling berprestij bagi pemain hoki veteran, menghimpunkan pasukan terbaik dunia dalam pelbagai kategori umur.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.