
KUALA LUMPUR, 6 Julai – Sebanyak 18 kes pembuangan bayi direkodkan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, dengan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 10 kes.
- Sabah dan Pulau Pinang masing-masing merekodkan dua kes; Johor, Negeri Sembilan, Perak dan Sarawak satu kes setiap.
- Kesemua bayi yang dikendalikan JKM dilaporkan berada dalam keadaan selamat; 72 kes direkod sepanjang 2025.
- KPWKM melalui JKM dan LPPKN melaksanakan pencegahan, perlindungan dan intervensi termasuk advokasi, pendidikan masyarakat dan Program KafeTEEN.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Lim Hui Ying berkata dua kes direkodkan di Sabah dan Pulau Pinang, manakala Johor, Negeri Sembilan, Perak serta Sarawak masing-masing merekodkan satu kes.
Beliau berkata kesemua bayi dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu berada dalam keadaan selamat, manakala sebanyak 72 kes pembuangan bayi direkodkan sepanjang 2025.
“KPWKM menerusi agensi seliaannya iaitu JKM dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) melaksanakan pelbagai pendekatan yang merangkumi aspek pencegahan, perlindungan dan intervensi.
Melalui JKM, KPWKM melaksanakan aspek pencegahan menerusi pelaksanaan program advokasi dan pendidikan masyarakat berkaitan tanggungjawab keibubapaan, institusi
keluarga, perlindungan kanak-kanak serta kesedaran mengenai implikasi perundangan dan sosial akibat pembuangan bayi,” jelas beliau.
Dalam masa sama, LPPKN melalui Program KafeTEEN terus memperkasa pengetahuan dan kesedaran remaja mengenai tingkah laku seksual berisiko serta Pendidikan Kesihatan Reproduktif.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad mengenai statistik kes keguguran dan pembuangan bayi mengikut negeri,
termasuk tindakan kerajaan menangani isu tersebut di Dewan Rakyat hari ini.