
KUALA LUMPUR, 5 Julai – Bantuan kerajaan berjumlah RM15,000 yang disalurkan kepada pekebun kecil sawit di Batu Pahat, Johor berjaya menghasilkan pulangan kasar hampir RM126,000 dalam tempoh kurang tiga tahun melalui projek Integrasi Ternakan dengan Sawit (ITe) melibatkan penternakan itik penelur.
- Bantuan MPOB melalui ITe membolehkan pekebun kecil menubuhkan projek ternakan itik penelur dan menambah sumber pendapatan di kebun sawit.
- Pengeluaran telur harian tinggi dan penghasilan produk tambah nilai seperti telur masin meningkatkan jualan kepada pengguna, pemborong dan tempahan majlis keraian.
- Pendekatan integrasi menyokong kemampanan ladang dengan penggunaan sisa ternakan sebagai baja organik serta memperkukuh daya tahan ekonomi pekebun kecil.
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memaklumkan, bantuan yang disediakan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui MPOB membolehkan pekebun kecil sawit, Mohamad Danial Md. Jalil mengusahakan projek ternakan itik penelur di kebun sawit seluas 0.68 hektar.
“Penerima bantuan MPOB pada Disember 2023, Mohamad Danial telah meningkatkan jumlah ternakan kepada 360 ekor itik penelur, dengan pengeluaran harian mencecah 240 biji telur sehari.
“Sehingga Mei 2026, projek tersebut telah merekodkan pengeluaran sebanyak 94,860 biji telur dengan nilai pendapatan kasar mencecah RM126,000, selain menjana pendapatan sampingan sekitar RM2,000 hingga RM4,000 sebulan,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Selain menjual telur segar kepada pengguna dan pemborong, Mohamad Danial turut mempelbagaikan produk dengan menghasilkan telur masin, sekali gus meningkatkan nilai tambah hasil ternakannya bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan termasuk tempahan majlis keraian.
Sementara itu, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, kejayaan tersebut membuktikan bahawa pekebun kecil mampu meningkatkan pendapatan secara signifikan melalui pendekatan integrasi yang disokong bimbingan teknikal serta insentif kerajaan.
“Ini membuktikan bahawa bantuan kerajaan bukan sekadar meningkatkan produktiviti kebun, malah mampu mengubah taraf sosioekonomi pekebun kecil. Dengan modal permulaan RM15,000, peserta berjaya menjana pendapatan yang jauh lebih tinggi melalui kepelbagaian sumber pendapatan di kebun sawit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak Projek ITe di Kampung Gombak, Mukim Peserai, Batu Pahat, hari ini.
Datuk Seri Dr Noraini berkata, konsep integrasi ternakan dan sawit merupakan antara strategi penting kementerian dalam memperkukuh daya tahan ekonomi pekebun kecil, di samping menyokong agenda keterjaminan makanan negara.
“Kita mahu lebih ramai pekebun kecil melihat kebun sawit bukan hanya sebagai sumber pengeluaran tandan buah segar (TBS), tetapi sebagai platform menjana pelbagai sumber pendapatan melalui aktiviti integrasi yang berdaya maju dan mampan,” ujarnya.
Projek tersebut turut memberi manfaat kepada aspek kemampanan ladang apabila sisa ternakan digunakan sebagai baja organik semula jadi yang membantu mengurangkan penggunaan baja kimia, meningkatkan kesuburan tanah dan mengoptimumkan penggunaan kawasan tanaman sawit.
Skim ITe merupakan komitmen kementerian melalui MPOB bagi menaik taraf sosioekonomi pekebun kecil sawit persendirian selari dengan dasar keterjaminan makanan dan pertanian mampan.