
SEREMBAN, 5 Julai – Sektor pertanian di daerah Seremban terus menunjukkan prestasi yang memberangsangkan, apabila mencatatkan nilai keseluruhan pengeluaran berjumlah RM45 juta pada 2025.
- Pertanian kekal penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan.
- Pengeluaran 14,671 tan metrik daripada lebih 40,000 hektar menunjukkan prestasi hasil dan kepelbagaian tanaman.
- Usaha menjadikan pertanian moden, berteknologi tinggi dan menarik minat generasi muda bagi kestabilan ekonomi rakyat.
- 91 usahawan jana RM12 juta; 25 peroleh pensijilan HALAL, MESTI dan GMP; peruntukan RM70,000 untuk pembangunan.
Perkembangan positif itu sekali gus membuktikan pertanian kekal sebagai antara penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sebanyak 14,671 tan metrik pelbagai jenis tanaman dan produk hiliran, berjaya dihasilkan daripada kawasan seluas lebih 40,000 hektar di daerah berkenaan, bagi tempoh sama.
“Kita perlu berusaha menjadikan pertanian sebagai sektor yang moden, menguntungkan, berteknologi tinggi dan menarik minat generasi muda.
“Jika sektor ini berkembang akan memberi impak kepada ekonomi rakyat. Apabila pengeluaran makanan bertambah, kos sara hidup stabil, petani semakin berjaya akhirnya, seluruh negeri menerima manfaat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seremban Agro Festival di Centerpoint
Mall, di sini, hari ini.
Sementara itu, Seremban turut merekodkan perkembangan positif dalam industri asas tani,
apabila 91 usahawan aktif menjana nilai pengeluaran RM12 juta.
Manakala 25 usahawan berjaya memperoleh pensijilan HALAL, MESTI dan Amalan
Pengilangan Baik, GMP.
Selain itu, kerajaan negeri turut memperuntukkan lebih RM70,000 bagi pembangunan usahawan industri asas tani pada 2026, merangkumi automasi pemprosesan, insentif pensijilan HALAL dan menaik taraf bengkel pemprosesan.