Emma Firyana pemain nombor satu dunia

Foto FB Emma Firyana Saroji

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Ratu boling padang negara, Emma Firyana Saroji terus mengharumkan nama Malaysia apabila dinobatkan sebagai pemain nombor satu dunia berdasarkan ranking terkini wanita yang dikeluarkan World Bowls Series, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejayaan dianggap pencapaian terbesar dalam karier, impian yang akhirnya menjadi kenyataan.
  • Gelaran hasil pengorbanan, latihan berterusan dan ketabahan menghadapi pelbagai cabaran.
  • Berterima kasih kepada keluarga, jurulatih, penaja dan rakyat; kejayaan sebagai amanah untuk terus rendah diri dan inspirasi generasi muda.

Atlet berusia 39 tahun itu kini menduduki tangga teratas dunia dengan mengumpul 787 mata, sekali gus mengatasi pencabar terdekat dari Australia, Jamie-Lee Worsnop yang meraih 709 mata. Tempat ketiga pula menjadi milik Cheryl Chan dari Hong Kong, China dengan 694 mata.

Kejayaan tersebut menjadi pencapaian terbesar dalam karier Emma, yang disifatkannya sebagai impian yang akhirnya menjadi kenyataan selepas sekian lama berusaha.

Menurut beliau, gelaran itu bukan sekadar kejayaan berdiri di podium, sebaliknya hasil daripada pengorbanan, latihan berterusan, serta ketabahan menghadapi pelbagai cabaran sepanjang perjalanan sebagai atlet.

Emma turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa, keluarga, jurulatih, rakan sepasukan, pihak pengurusan, penaja serta seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa memberi sokongan dan kepercayaan.

Katanya, kejayaan tersebut bukan noktah, sebaliknya satu amanah untuk terus merendah diri, bekerja keras dan membawa Jalur Gemilang dengan penuh bangga di pentas dunia.

Beliau berharap pencapaian itu mampu menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk berani bermimpi dan berusaha bersungguh-sungguh dalam mengejar kejayaan.

“Alhamdulillah. Terima kasih, Malaysia,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.