PGA tumpas kereta sapu bawa tiga warga Indonesia

Lelaki tempatan terima upah RM100 dipercayai seludup tiga warga Indonesia/Foto PGA Briged Tenggara

KOTA BHARU, 4 Julai – Seorang pemandu kereta tambang haram dipercayai menerima upah RM100 bagi setiap penumpang untuk membawa tiga warga Indonesia ke Rantau Panjang sebelum ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemandu tempatan berusia 66 tahun dan tiga warga Indonesia (29, 41, 47) ditahan di SJR Cabang Empat Salam, Pasir Mas.
  • Sebuah kenderaan dan tiga telefon bimbit dirampas, nilai keseluruhan dianggarkan RM15,500.
  • Wanita menggunakan surat perjalanan diragui selepas kehilangan pasport; dua rakan didapati melebihi tempoh tinggal; kes disiasat mengikut Akta Imigresen.

Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain berkata, lelaki tempatan berusia 66 tahun itu ditahan bersama tiga warga Indonesia berusia 29, 41 dan 47 tahun dalam pemeriksaan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Cabang Empat Salam, Pasir Mas kira-kira pukul 7.50 pagi.

Beliau berkata, seorang wanita warga Indonesia mengemukakan surat perjalanan yang diragui ketulenannya, manakala dua lagi lelaki didapati tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan.

“Turut dirampas sebuah kenderaan serta tiga telefon bimbit dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM15,500.

“Soal siasat awal mendapati pemandu terbabit telah menjalankan kegiatan sebagai pemandu kereta tambang haram sejak lima tahun lalu,” katanya menerusi kenyataan hari ini

Beliau berkata, suspek mengaku mengambil ketiga-tiga warga Indonesia itu di Stesen Bas Kota Bharu sebelum menghantar mereka ke Rantau Panjang dengan mengenakan caj RM100 bagi setiap penumpang.

Siasatan lanjut terhadap wanita warga Indonesia itu mendapati pasport asalnya hilang ketika bercuti di Kuala Lumpur dan menggunakan surat perjalanan berkenaan sebagai dokumen pengenalan diri.

Manakala dua lagi rakannya mengaku berada di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 55E(1) dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.