PRN Johor: Pengundi tekankan integriti, manifesto realistik

Mohamed Fakhrul Redza Sahidek, Nurrul Athirah Noorrolhisyam, Muhammad Aniq Aqmal Azman, Darius Daud/ RTM

JOHOR BAHRU, 4 Julai- Manifesto realistik, integriti serta keupayaan menyelesaikan isu rakyat menjadi antara pertimbangan utama pengundi di Johor dalam memilih wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

RINGKASAN BERITA AI
  • Calon perlu berinteraksi secara langsung dengan pengundi, proaktif dan dekat dengan akar umbi melalui penglibatan komuniti dan jawatankuasa pelajar.
  • Bentangkan manifesto jelas, praktikal dan boleh dilaksanakan, bukan janji umum atau tuntutan yang mustahil.
  • Utamakan integriti, ketelusan dan keupayaan menyelesaikan isu rakyat serta berani mendengar dan menjawab masalah semasa.

Pandangan itu disuarakan pengundi muda dan warga kerja di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang yang menekankan calon perlu lebih dekat dengan rakyat serta responsif terhadap isu semasa.

Pembantu Khidmat Am kampus berkenaan, Mohamed Fakhrul Redza Sahidek berkata calon perlu berinteraksi secara langsung dengan pengundi serta mengemukakan manifesto yang jelas dan boleh dilaksanakan.

“Calon hendaklah berinteraksi dengan pengundi dan mengemukakan manifesto yang jelas dan realistik. Bukan sekadar janji umum, tetapi cadangan yang boleh dilaksanakan. Integriti dan ketelusan juga penting,” katanya.

Pelajar Fakulti Kejuruteraan Kimia, Nurrul Athirah Noorrolhisyam pula berpendapat manifesto yang dibentangkan perlu bersifat praktikal serta tidak keterlaluan.

“Mereka perlu membentangkan manifesto yang realistik, bukan sekadar menjanjikan ‘bulan dan bintang’. Calon juga perlu berani mendengar dan menjawab isu semasa rakyat,” katanya.

Sementara itu, pelajar Fakulti Kejuruteraan Elektrik kampus sama, Muhammad Aniq Aqmal Azman, berkata calon perlu lebih proaktif dan dekat dengan akar umbi termasuk melalui penglibatan bersama jawatankuasa pelajar.

“Calon perlu bersama dalam penganjuran program berimpak tinggi kepada komuniti serta memimpin dari akar umbi kerana pembangunan kepimpinan perlu bermula awal,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Darius Daud dari Fakulti Pengurusan dan Perniagaan menegaskan penyelesaian isu rakyat perlu diberi keutamaan bagi meyakinkan pengundi.

“Calon perlu menyelesaikan isu-isu rakyat yang sedang berlaku sekarang untuk meyakinkan pengundi,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.