
KUALA LUMPUR, 4 Julai- Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd (PROTON) menyokong usaha kerajaan memperkukuh sistem mobiliti awam negara menerusi penyertaan dalam Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional.
- Proton menyokong Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional untuk memperkukuh sistem mobiliti awam negara.
- Inisiatif ini bukan sekadar menggantikan kenderaan lama, tetapi pelaburan meningkatkan mutu perkhidmatan untuk pemandu, penumpang dan pelawat.
- Proton S70 dipilih kerana memenuhi keperluan operasi mobiliti awam berintensiti tinggi dan menawarkan pengalaman lebih baik.
- Insentif kerajaan dan syarikat memudahkan pembaharuan armada, manakala S70 pemasangan tempatan menyokong pekerjaan, pembangunan vendor dan pemindahan teknologi.
PROTON memaklumkan inisiatif diterajui Kementerian Pengangkutan bukan sekadar menggantikan kenderaan lama, sebaliknya merupakan pelaburan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan mobiliti awam demi manfaat pemandu, penumpang dan pelawat.
“Program ini turut membuktikan komitmen bersama kerajaan dan industri dalam meningkatkan pengalaman perjalanan harian rakyat Malaysia, di samping mengukuhkan keyakinan terhadap sistem pengangkutan awam negara.
“Ia juga selari dengan aspirasi Malaysia MADANI serta menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 menerusi penggunaan armada baharu yang mampu memperkukuh imej Malaysia sebagai negara moden, progresif dan mesra pelawat,” menurut Proton dalam kenyataan hari ini.
Bagi pelaksanaan inisiatif itu, PROTON S70 dipilih kerana memenuhi keperluan operasi mobiliti awam yang melibatkan perjalanan harian berintensiti tinggi, selain menawarkan pengalaman lebih baik kepada pemandu dan penumpang.
Proton memaklumkan insentif disediakan kerajaan dan syarikat akan membantu memudahkan proses pembaharuan armada oleh pengendali yang layak, tertakluk kepada syarat ditetapkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), termasuk pemilikan permit operasi sah.
Dalam kenyataan sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Ir. Abdul Rashid Musa berkata pemilihan PROTON S70 mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan kejuruteraan, pembuatan dan kualiti produk keluaran Malaysia.
Beliau berkata sebagai model pemasangan tempatan dengan penglibatan jurutera, vendor serta rantaian bekalan domestik, PROTON S70 menyumbang kepada penciptaan peluang pekerjaan, pembangunan vendor, pemindahan teknologi serta pertumbuhan berterusan industri automotif negara.