
ARLINGTON, 4 Julai– Sepakan Panenka Mohamed Salah membantu Mesir mencipta sejarah mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia buat kali pertama selepas menewaskan Australia menerusi penentuan penalti.
- Salah membuat keputusan saat akhir untuk memberi keyakinan kepada rakan sepasukan ketika berdepan tekanan.
- Beliau mengingatkan rakan supaya menikmati aksi di pentas terbesar dan jangan biarkan tekanan menguasai mereka.
- Hossam Abdelmaguid menyempurnakan sepakan penalti terakhir dan memberi Mesir kemenangan pertama peringkat kalah mati Piala Dunia.
Menurut Salah, beliau membuat keputusan menggunakan teknik sepakan itu pada saat-saat akhir bagi meningkatkan keyakinan rakan sepasukannya ketika berdepan tekanan.
“Saya lebih berpengalaman dan mahu memberi keyakinan kepada mereka. Saya membuat keputusan itu pada saat akhir. Saya yang perlu melakukannya.
Ini adalah sejarah. Saya beritahu rakan sepasukan sebelum perlawanan supaya menikmati aksi di pentas terbesar ini dan tidak membiarkan tekanan menguasai mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas perlawanan.
Penyerang berusia 34 tahun itu turut menyifatkan kemenangan berkenaan sebagai detik paling bermakna buat skuad Mesir.
Mesir mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik selepas menewaskan Australia 4-2 menerusi penentuan penalti, selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 hingga tamat masa tambahan.
Hossam Abdelmaguid menyempurnakan sepakan penalti terakhir untuk memastikan kemenangan Mesir dan menghadiahkan negara itu kemenangan pertama di peringkat kalah mati Piala Dunia. -AFP