Houthi ancam sasar kepentingan strategik Arab Saudi

Yahya Sarea, Jurucakap tentera Houthi / REUTERS

SANAA, 4 Julai– Kumpulan Houthi mengancam akan menyasarkan lapangan terbang serta kepentingan strategik Arab Saudi jika negara itu mengulangi pencerobohan ke atas ruang udara Yaman.

RINGKASAN BERITA AI
  • Houthi dakwa pesawat pejuang Arab Saudi cuba menghalang pesawat awam Iran mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sanaa.
  • Pesawat itu dilaporkan membawa lebih 200 rakyat Yaman terkandas, termasuk pesakit dan individu yang cedera.
  • Houthi lancarkan beberapa peluru berpandu pertahanan udara sebagai tindak balas, memaksa pesawat pejuang Arab Saudi berundur.
  • Houthi menegaskan tidak akan berdiam diri terhadap sekatan hampir 11 tahun, sementara Arab Saudi belum mengeluarkan kenyataan.

Amaran itu dikeluarkan selepas Houthi mendakwa pesawat pejuang Arab Saudi cuba menghalang sebuah pesawat awam Iran daripada mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sanaa, awal pagi semalam.

Jurucakap tentera Houthi, Yahya Sarea berkata, pesawat itu membawa lebih 200 rakyat Yaman yang terkandas, termasuk pesakit dan individu yang cedera.

“Kami memberi amaran kepada Arab Saudi supaya tidak mengulangi sebarang cubaan menceroboh ruang udara Yaman atau melancarkan pencerobohan terhadap negara kami.

Sebarang tindakan sedemikian akan dibalas dengan serangan yang menyasarkan lapangan terbang serta kepentingan strategik mereka di darat dan di laut,” katanya.

Beliau menegaskannya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi televisyen.

Yahya mendakwa, Houthi melancarkan beberapa peluru berpandu pertahanan udara sebagai tindak balas terhadap insiden itu.

Tindakan itu memaksa pesawat pejuang Arab Saudi berundur dari ruang udara Yaman.

Houthi turut menegaskan mereka tidak akan berdiam diri terhadap sekatan yang didakwa dikenakan ke atas Yaman sejak hampir 11 tahun lalu.

Setakat ini, pihak Arab Saudi belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan tersebut. -REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.