Pelantikan Tan Sri Azam Baki dalam NFCC kekal sah sehingga Sept 2027 – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditemui pemberita selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid As-Sodiqin, Taman Kobena./ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pelantikan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki sebagai Ahli Lembaga Penasihat Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) kekal sah sehingga September 2027 dan hanya Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk membatalkan pelantikan tersebut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelantikan Tan Sri Azam Baki sebagai Ahli Lembaga Penasihat NFCC sah sehingga September 2027.
  • Hanya Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk membatalkan pelantikan itu.
  • Ketua Pembangkang mempersoalkan justifikasi pelantikan susulan dakwaan melibatkan pemilikan saham dan skandal korporat.

Menurut beliau, pelantikan itu dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong dan tidak mempunyai kaitan dengan kedudukan Tan Sri Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Seperti yang saya jelaskan sebelum ini, pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong itu berkuat kuasa sehingga 2027.

“Hanya Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk membatalkan pelantikan tersebut. Ia tidak berkait dengan jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM kerana pelantikan itu dibuat secara berasingan oleh Yang di-Pertuan Agong dan tempohnya berakhir pada 2027,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid As-Sodiqin, Taman Kobena, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam sidang media di Parlimen mempersoalkan justifikasi pelantikan Azam sebagai Ahli Lembaga Penasihat NFCC.

Datuk Seri Hamzah berkata, persoalan itu timbul memandangkan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM berkenaan didakwa pernah dikaitkan dengan beberapa isu, termasuk dakwaan membabitkan skandal korporat serta pemilikan saham.

Untuk rekod, Tan Sri Azam Baki pertama kali dilantik sebagai Ahli Lembaga Penasihat NFCC pada Mac 2021 bagi tempoh sehingga Mac 2024 sebelum dilantik semula pada September 2024 untuk tempoh perkhidmatan sehingga September 2027.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.