
KUALA LUMPUR, 3 Julai – Program Baucar Buku MADANI 2026 yang menawarkan e-baucar bernilai RM100 kepada pelajar terus menerima maklum balas positif apabila disifatkan mampu mengurangkan beban kewangan, di samping menggalakkan budaya membaca dan pemilikan bahan bacaan berkualiti.
- Mengurangkan beban kewangan pelajar dan memudahkan pembelian buku rujukan serta bahan pembelajaran penting.
- Menggalakkan budaya membaca dan pembelian buku fizikal terutama dalam kalangan pelajar kurang berkemampuan.
- Syarat pembelian satu Judul Khas mengutamakan pemilihan buku berkualiti dan berilmiah sebelum menggunakan baki baucar.
- Membantu pelajar B40 menghadapi kenaikan harga buku serta memperluas akses kepada bahan bacaan berkualiti.
Tinjauan RTM di sebuah Institut Pendidikan Guru (IPG) mendapati kebanyakan pelajar menyambut baik pelaksanaan inisiatif itu kerana membantu mereka mendapatkan buku rujukan serta bahan bacaan tanpa terlalu terbeban dengan kos pengajian.
Pelajar Kursus Bahasa Melayu, Rabiatul Adawiyah Aisa, berkata pemberian baucar itu menjadi galakan kepada pelajar untuk membeli dan membaca buku fizikal, terutama dalam kalangan mereka yang sebelum ini kurang berkemampuan.

“Inisiatif Baucar Buku MADANI sangat menggalakkan pelajar untuk membaca. Ada antara kami yang jarang membeli buku fizikal jika tiada baucar ini. RM100 itu juga boleh digunakan untuk membeli sekurang-kurangnya tiga buah buku, sekali gus sangat membantu pelajar yang kurang berkemampuan,” katanya.
Bagi pelajar Kursus Bahasa Melayu Pendidikan Rendah, Sangeetha Moreli, baucar tersebut memberi peluang kepada pelajar mendapatkan buku yang diperlukan, khususnya bagi mereka daripada keluarga B40.

“Saya rasa baucar itu sangat penting kerana kami boleh membeli buku yang diperlukan. Bagi pelajar daripada golongan B40, ia merupakan satu bentuk bantuan yang sangat bermakna daripada kerajaan,” katanya.
Sementara itu, pelajar Kursus Pendidikan Pemulihan, Asna Raihah Mohmad Isa, berkata inisiatif berkenaan dapat mengurangkan beban kewangan pelajar yang mempunyai minat membaca tetapi berdepan kekangan ekonomi.

“Baucar ini dapat mengurangkan beban kewangan, khususnya kepada pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan tetapi mempunyai keinginan untuk membaca dan memiliki bahan bacaan sendiri,” katanya.
Bagi Hamshni Subramanian Suresh dari Kursus Bahasa Melayu Pendidikan Rendah pula, peningkatan harga buku menyebabkan bantuan seperti Baucar Buku MADANI amat diperlukan oleh pelajar.

“Pada masa ini harga buku semakin mahal. Sebagai pelajar, setiap semester kami perlu membeli banyak buku. Jadi baucar seperti ini sangat membantu kami mendapatkan bahan bacaan yang diperlukan,” katanya.
Selain bantuan kewangan, pelaksanaan program yang menetapkan pembelian sekurang-kurangnya sebuah buku daripada kategori Judul Khas sebelum baki baucar boleh digunakan turut menerima reaksi positif.
Menurut Rabiatul Adawiyah, syarat itu membantu pelajar mengutamakan pembelian buku yang benar-benar penting sebelum membeli bahan bacaan lain.
“Syarat itu membantu kami membeli buku yang lebih penting terlebih dahulu sebelum menggunakan baki baucar untuk buku lain,” katanya.
Asna Raihah pula berpandangan mekanisme berkenaan mampu membimbing pelajar membuat pilihan bahan bacaan yang lebih berkualiti dan berilmiah.
“Kadang-kadang kita cenderung membeli buku bergenre komedi atau romantik. Dengan adanya tapisan ini, ia membantu kita memilih buku yang lebih berkualiti dan sesuai dengan keperluan pembelajaran,” katanya.
Secara keseluruhannya, Program Baucar Buku MADANI 2026 bukan sahaja membantu mengurangkan kos pembelian buku, malah memperluaskan akses kepada bahan bacaan berkualiti serta menyokong usaha membudayakan amalan membaca dalam kalangan pelajar dan generasi muda.