
KUALA LUMPUR, 3 Julai – Dasar luar bebas yang ditegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sekadar memperkukuh kedudukan diplomatik Malaysia, malah menjadi faktor penting dalam menarik pelaburan asing, mempelbagaikan rakan ekonomi serta mengurangkan kebergantungan kepada mana-mana kuasa besar.
- Mengamalkan neutraliti aktif dengan menjalin hubungan strategik bersama semua negara tanpa memihak kepada mana-mana blok geopolitik.
- Malaysia sebuah ekonomi terbuka yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa, pelaburan langsung asing dan rantaian bekalan global.
- Pelaburan langsung asing penting bagi pelaksanaan agenda pembangunan dan pengukuhan ekosistem semikonduktor melalui National Semiconductor Strategy.
- Strategi lindung nilai melalui kepelbagaian rakan perdagangan, pelaburan dan teknologi serta penglibatan dalam ASEAN dan RCEP mengekalkan kredibiliti negara.
Pensyarah Kanan Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya, Dr. Zaharul Abdullah berkata, pendekatan itu membolehkan Malaysia mengamalkan neutraliti aktif, iaitu menjalinkan hubungan strategik dengan semua negara tanpa memihak kepada mana-mana blok geopolitik.
Beliau berkata, pendekatan tersebut amat penting memandangkan Malaysia merupakan sebuah ekonomi terbuka yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa, pelaburan langsung asing (FDI) dan rantaian bekalan global.
“FDI memainkan peranan penting dalam pelaksanaan agenda pembangunan negara, termasuk memperkukuh ekosistem semikonduktor menerusi National Semiconductor Strategy (NSS).
“Sebagai contoh, lawatan rasmi Perdana Menteri ke 21 negara sepanjang 2025 berjaya menjana potensi pelaburan hampir RM500 bilion,” katanya kepada RTM.
Beliau berkata, kepelbagaian hubungan perdagangan dan pelaburan turut mengurangkan kebergantungan Malaysia kepada satu-satu kuasa besar, sekali gus meningkatkan daya tahan ekonomi negara ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik.
Mengulas strategi diplomatik negara, beliau berkata Malaysia mengamalkan pendekatan ‘hedging’ atau strategi lindung nilai dengan memperkukuh hubungan bersama semua kuasa utama tanpa memberikan komitmen eksklusif kepada mana-mana pihak.
Menurutnya, strategi itu dilaksanakan melalui kepelbagaian rakan perdagangan, pelaburan dan teknologi, selain memperkukuh penglibatan dalam platform pelbagai hala seperti ASEAN dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
Beliau berkata, pendekatan pragmatik dan fleksibel itu membolehkan Malaysia mengekalkan kredibiliti sebagai negara yang mengamalkan dasar luar bebas, sekali gus memperkukuh kestabilan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.