Johor perluas Sekolah Rintis Bangsa Johor ke pendidikan agama

Datuk Onn Hafiz pada Sambutan Hari Guru Agama Kerajaan Johor ke-28 dan Majlis Penutupan Konvensyen Pendidikan Islam Negeri di Stadium Tertutup Arena Larkin.

JOHOR BAHRU, 3 JULAI – Kerajaan Johor memperluas inisiatif Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) ke pendidikan agama, menerusi penubuhan Sekolah Agama Rintis Bangsa Johor (SARBJ) yang pertama tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Empat sekolah SRBJ diwujudkan: SMK Seri Kota Puteri 2; SK Seri Kota Puteri 4; SMK Tasek Utara; SK Tasek Utara.
  • Menteri Besar Datuk Onn Hafiz merasmikan program semasa Sambutan Hari Guru Agama dan Konvensyen Pendidikan Islam Negeri.
  • Kerajaan merancang penubuhan tadika rintis untuk pendidikan awal kanak-kanak, kerjasama dengan Timbalan Perdana Menteri.
  • SRBJ menumpu pembelajaran digital, penguasaan pelbagai bahasa, pembangunan sahsiah, pemerkasaan guru dan kemudahan pendidikan bertaraf tinggi.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata inisiatif itu, merupakan cetusan ilham Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail bagi mentransformasikan sistem pendidikan negeri secara menyeluruh.

“Kita dah buat empat sekolah, dua sekolah rendah dan dua sekolah menengah. Dan kita akan buat satu untuk sekolah agama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Agama Kerajaan Johor ke-28 dan Majlis Penutupan Konvensyen Pendidikan Islam Negeri di Stadium Tertutup Arena Larkin di sini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid serta Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad.

Jelas Datuk Onn Hafiz, kerajaan negeri tidak akan berhenti setakat itu, malah akan memperluas pendekatan sama ke peringkat pendidikan awal kanak-kanak menerusi penubuhan sebuah tadika rintis.

“Insya-Allah untuk tadika pun kita buat dan ini usaha sama dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” jelasnya.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid mengumumkan kerajaan Johor meluluskan pembinaan Sekolah Agama Rintis Bangsa Johor (SARBJ), yang pertama di Kota Iskandar tahun ini, sekali gus memperluas inisiatif Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) ke institusi pendidikan agama di negeri itu.

Empat sekolah itu melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Puteri 2 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kota Puteri 4 di Pasir Gudang, selain dua lagi sekolah di daerah Johor Bahru iaitu SMK Tasek Utara dan SK Tasek Utara.

Inisiatif SRBJ diperkenalkan bagi mentransformasikan sistem pendidikan negeri menerusi pembelajaran digital, penguasaan pelbagai bahasa, pembangunan sahsiah, pemerkasaan guru serta penyediaan kemudahan pendidikan bertaraf tinggi.

Pembinaan SARBJ pula dijangka melengkapkan usaha kerajaan negeri memperluas pendekatan tersebut ke dalam sistem pendidikan agama.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.