
BANGI, 3 Julai – Sebuah premis makanan kedai dua tingkat musnah 70 peratus dalam kejadian kebakaran di Bandar Baru Bangi malam tadi.
- Seorang pekerja wanita warga Indonesia, 26, mengalami sesak nafas dan diberi rawatan awal oleh ambulan Klinik Kesihatan Bangi.
- Kebakaran berlaku di aras bawah premis.
- Operasi disertai 23 anggota, tiga jentera FRT, sebuah EMRS dan sebuah Water Tanker, dibantu BBP Semenyih dan Seri Kembangan.
Kebakaran premis makanan Ayam Gepuk Tok Mat Bangi itu turut menyebabkan seorang pekerja wanita warga Indonesia berusia 26 tahun mengalami sesak nafas.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), PBK I Mohamad Syafiq Ahmad Feshal dalam satu kenyataan, memaklumkan kebakaran melibatkan premis berkeluasan kira-kira 30 x 70 kaki persegi.
“Kebakaran melibatkan sebuah premis kedai dua tingkat kelas A berkeluasan kira-kira 30 x 70 kaki persegi.
“Kebakaran berlaku di aras bawah premis dengan anggaran kemusnahan sekitar 70 peratus ketika pasukan bomba tiba di lokasi.
“Terdapat seorang wanita warganegara indonesia berumur 26 tahun iaitu pekerja kedai, mengalami sesak nafas dan diberi rawatan awal oleh pihak ambulan Klinik Kesihatan Bangi,” katanya.

Terdahulu Pusat Gerakan Operasi JBPM Selangor menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.54 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi tiba di lokasi pada pukul 8.02 malam.
Operasi turut dibantu anggota dari BBP Semenyih dan BBP Seri Kembangan dengan keseluruhan 23 anggota bersama tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan sebuah Water Tanker digerakkan ke lokasi.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.