AREC 2026: Tawar diskaun 10 peratus pembelian rumah

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming / Foto KPKT

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Sebanyak 10 peratus diskaun akan ditawarkan bagi pembelian rumah sempena Persidangan Hartanah ASEAN (AREC) 2026 yang dijadual berlangsung bermula 29 Julai ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif Simen Rahmah sediakan 1.6 juta tan metrik simen kepada pemaju rumah mampu milik memastikan harga kekal mampu milik.
  • Langkah diskaun diperkenal untuk meringankan beban pembeli, khususnya pembayaran deposit di bawah Perjanjian Jual Beli.
  • Malaysia dinobat juara keseluruhan FIABCI 2026 dengan 14 anugerah; pemaju tempatan berkembang ke pasaran antarabangsa.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan bertujuan meringankan beban kos pembeli khususnya, pembayaran deposit 10 peratus di bawah Perjanjian Jual Beli (SPA).

“Selain itu, inisiatif Simen Rahmah turut akan ditawarkan dengan kapasiti simen berjumlah 1.6 juta tan metrik kepada pemaju yang membina rumah mampu milik.

“Ia sekali gus, dapat memastikan harga rumah kekal pada tahap mampu milik, bukan mampu mimpi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penghargaan Kecemerlangan Pemaju Hartanah sempena FIABCI World Prix D’Excellence Awards 2026 di sini.

AREC 2026 akan diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula 29 Julai hingga 1 Ogos 2026.

Mengulas lanjut Nga Kor Ming berkata, pemberian diskaun 10 peratus itu selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk menyediakan kediaman berkualiti dan mampu milik kepada rakyat, berteraskan slogan ‘Rumahku, Syurgaku’.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dijadual merasmikan AREC 2026 dengan Dasar Perumahan Negara dijangka dilancarkan sebagai antara usaha memperkukuh dasar serta hala tuju sektor perumahan negara.

Sementara itu, menyentuh mengenai Majlis Penghargaan Kecemerlangan Pemaju Hartanah, Nga Kor Ming memberitahu, Malaysia dinobatkan juara keseluruhan FIABCI 2026 apabila meraih 14 anugerah merangkumi lapan pingat emas dan enam pingat perak dalam pelbagai kategori.

“Kita dapat melihat beberapa syarikat Malaysia kini berjaya mengembangkan operasi ke luar negara, termasuk ParkCity Group di Vietnam, SP Setia di Australia, OSK Property di Melbourne dan EcoWorld di London.

“Inilah hasrat kerajaan Malaysia supaya syarikat-syarikat kita bukan sahaja jaguh kampung tetapi jaguh dunia,” ujar beliau.

Sejak FIABCI World Prix D’Excellence Awards diperkenalkan pada 1992, Malaysia berjaya memperoleh sebanyak 135 pingat emas, sekali gus membuktikan keupayaan pemaju tempatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.