Tehran ikrar bertindak balas terhadap ancaman ke atas rakyat, kepimpinan Iran

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi/Foto Bernama

ISTANBUL, 2 Julai – Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi pada Rabu memberi amaran bahawa sebarang ancaman terhadap rakyat dan kepimpinan Iran “akan menerima tindak balas yang tegas serta merta,” lapor Anadolu Ajansi (AA).

RINGKASAN BERITA AI
  • Araghchi nyatakan Memorandum Persefahaman Islamabad jelas dan terbuka untuk tatapan umum.
  • Israel Katz didakwa menyatakan Pemimpin Tertinggi Iran telah 'ditanda untuk dibunuh', dipaparkan Araghchi sebagai tangkap layar laporan.
  • Perjanjian dikuat kuasa 18 Jun, menyediakan rangka mengakhiri perang, hentikan permusuhan, pelonggaran sekatan dan aturan keselamatan serantau.

“Terma Memorandum Persefahaman Islamabad adalah jelas dan terbuka untuk tatapan semua,” kata Araghchi menerusi platform X.

Beliau berkata Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, “telah memberi komitmen bahawa AS akan mengawal sekutunya di Tel Aviv.”

“Jika mereka mengingkari arahan pihak yang melindungi mereka, Iran akan mengajar mereka,” katanya.

Araghchi memuat naik kenyataan itu bersama imej yang dipercayai tangkap layar laporan berita memetik Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz yang mendakwa Pemimpin Tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei, ‘telah ditanda untuk dibunuh’.

Pemimpin Tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei/Bernama

Kenyataan itu dibuat ketika Memorandum Persefahaman antara Washington dan Tehran, dikuat kuasa pada 18 Jun selepas ditandatangani secara elektronik oleh Trump dan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.

Perjanjian itu menyediakan rangka kerja untuk menamatkan perang yang tercetus pada penghujung Februari serta menyelesaikan isu-isu tertunggak antara Washington dan Tehran menerusi rundingan.

Ia merangkumi pemberhentian permusuhan di semua medan termasuk di Lubnan, pelonggaran sekatan, isu nuklear, pembukaan sepenuhnya Selat Hormuz serta aturan keselamatan serantau yang lebih menyeluruh.-Bernama

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.