DNB perkukuh infrastruktur 5G, tingkat kapasiti rangkaian sokong AI

Kadar penggunaan 5G kini melebihi 88 peratus dengan lebih 30.3 juta langganan

KUALA LUMPUR, 1 Julai Digital Nasional Berhad (DNB) terus memperkukuh peranan sebagai penyedia infrastruktur 5G utama negara menerusi pengaktifan spektrum baharu, sekali gus meningkatkan kapasiti, prestasi rangkaian serta keupayaan infrastruktur digital Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengaktifan spektrum 3.3 hingga 3.4 GHz meningkatkan pegangan jalur pertengahan kepada 200 MHz, menggandakan kapasiti rangkaian dan memperbaiki pengalaman pengguna di kawasan trafik tinggi.
  • Kapasiti tambahan menyokong pendigitalan perusahaan, mempercepat pembangunan aplikasi AI, automasi, IoT industri dan perkhidmatan misi kritikal.
  • Lebih 50 tapak telah dinaik taraf, pengaktifan berperingkat diteruskan, DNB melabur dalam 5G Advanced dan pengurusan rangkaian autonomi berasaskan AI.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Azman Ismail memaklumkan pihaknya sedia memberi tumpuan kepada pengukuhan prestasi rangkaian, penskalaan keupayaan perusahaan serta gelombang baharu inovasi digital di Malaysia.

“Kami sedang memasuki fasa baharu bagi DNB yang ditakrifkan oleh kapasiti yang lebih kukuh, kerjasama yang lebih mendalam, dan pelaksanaan yang lebih tajam.

“Melihat kepada permintaan yang semakin meningkat dan peluang digital baharu khususnya dalam AI dan pendigitalan industri, DNB komited untuk menyediakan rangkaian yang bukan sahaja memenuhi keperluan hari ini, tetapi juga memperkasa masa depan digital Malaysia,”katanya menerusi kenyataan.

DNB kini giat mengaktifkan spektrum dalam jalur 3.3 hingga 3.4 gigahertz (GHz) atau “F-Zero”, yang menjadikan jumlah pegangan spektrum jalur pertengahan berterusan syarikat meningkat kepada 200 megahertz (MHz), apabila digabungkan dengan spektrum sedia ada dalam jalur 3.4 hingga 3.5 GHz.

Menurut DNB, tambahan kapasiti itu merupakan pegangan spektrum jalur pertengahan terbesar di Malaysia dan secara efektif menggandakan kapasiti rangkaian, sekali gus meningkatkan kecekapan serta pengalaman pengguna terutama di kawasan bertrafik tinggi.

“Peningkatan kapasiti ini membolehkan DNB bersama para pelanggannya menyokong fasa baharu pendigitalan perusahaan, termasuk pembangunan aplikasi berasaskan kecerdasan buatan (AI), automasi, Internet Benda (IoT) industri serta perkhidmatan misi kritikal.

“Dengan platform 5G yang kukuh dan berprestasi tinggi,perusahaan di Malaysia kini berada pada kedudukan yang lebih baik untuk mempercepat inovasi dan memperluas penggunaan teknologi digital,” katanya dalam kenyataan sama.

Sehingga kini, lebih 50 tapak telah dinaik taraf dan proses pengaktifan akan diteruskan secara berperingkat bagi meningkatkan prestasi rangkaian terutama di kawasan yang mencatatkan permintaan data tinggi.

Penggunaan data mudah alih di Malaysia terus berkembang dengan purata penggunaan bulanan meningkat daripada sekitar 19 gigabait (GB) ketika pandemik COVID-19 kepada kira-kira 40GB bagi setiap pengguna ketika ini.

Sementara itu, kadar penggunaan 5G di Malaysia kini melebihi 88 peratus dengan lebih 30.3 juta langganan 5G direkodkan, mencerminkan penerimaan positif pengguna serta industri terhadap teknologi berkenaan.

DNB turut memaklumkan, syarikat akan terus melabur dalam teknologi termaju termasuk evolusi ke arah 5G Advanced dan pengurusan rangkaian autonomi berasaskan AI bagi memastikan prestasi, kecekapan dan kebolehpercayaan rangkaian berada pada tahap optimum.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.