Weststar, RTI bakal jalin kerjasama strategik sektor aeroangkasa dan pertahanan

Gambar Hiasan / Foto BERNAMA

CANBERRA, 30 Jun – Weststar Defence Industries Sdn. Bhd. akan memeterai kerjasama strategik dengan syarikat aeroangkasa dan teknologi pertahanan Australia, Rocket Technologies International Pty Ltd (RTI), di Bangunan Parlimen Australia, di sini, esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gabungan keupayaan Weststar dengan kepakaran RTI dalam teknologi aeroangkasa dan sistem teknologi canggih.
  • Meneroka peluang R&D, latihan teknikal, pembangunan tenaga kerja dan pemindahan teknologi.
  • Kerjasama dengan institusi pengajian tinggi untuk memperkukuh pembangunan bakat dan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
  • Selaras aspirasi Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-Australia dalam kemakmuran ekonomi, kerjasama teknologi dan keselamatan serantau.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Tan Sri Dr. Syed Azman Syed Ibrahim berkata, kerjasama itu bakal menggabungkan keupayaan industri dan rangkaian serantau Weststar dengan kepakaran RTI dalam teknologi aeroangkasa serta sistem teknologi canggih.

“Kedua-dua pihak akan meneroka peluang dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), latihan teknikal, pembangunan tenaga kerja serta pemindahan teknologi,” katanya dalam satu kenyataan.

Usaha sama itu turut meliputi kerjasama dengan institusi pengajian tinggi bagi memperkukuh pembangunan bakat dan melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Pada masa sama, kerjasama berkenaan dijangka memperluas penyertaan industri tempatan serta mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dengan Australia.

” Ia selaras dengan aspirasi Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-Australia, khususnya dalam bidang kemakmuran ekonomi, kerjasama teknologi dan keselamatan serantau,” jelasnya lagi.

Majlis pemeteraian dijangka disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta wakil kanan kerajaan dan industri kedua-dua negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.