Tentera Zionis enggan berundur dari Lubnan, mahu hapuskan Hizbullah

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu / Foto fail REUTERS

LUBNAN, 1 Julai – Tanpa menghiraukan perjanjian rangka atau framework agreement yang diusahakan sekutunya Amerika Syarikat (AS), Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan tenteranya akan terus berada di selatan Lubnan sehingga ancaman daripada Hizbullah dihapuskan sepenuhnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lawatan Netanyahu ke penempatan tentera di selatan Lubnan; puji tindakan berani tentera.
  • Israel wujudkan zon keselamatan untuk menolak kumpulan bersenjata, mewujudkan zon penampan di sempadan.
  • Perjanjian rangka AS menuntut Tentera Lubnan mengambil alih; Hezbollah kecam sebagai penghinaan dan ancam konflik jika dipaksa.

Kenyataan angkuh itu dibuat Netanyahu ketika mengadakan lawatan ke kawasan penempatan tentera Zionis di selatan Lubnan.

Katanya, kehadiran tentera di kawasan itu akan diteruskan selagi Hizbullah masih memiliki keupayaan ketenteraan yang boleh mengancam keselamatan Israel.

Tentera rejim dilapor telah mewujudkan zon keselamatan atas alasan untuk menangani ancaman keselamatan di sempadan.

Netanyahu turut mendakwa tenteranya telah menumpaskan kira-kira 9,000 pejuang Hizbullah.

Perjanjian rangka yang dimeterai di Washington itu menggariskan pelan pelaksanaan secara berperingkat yang memberi tanggungjawab kepada Angkatan Tentera Lubnan untuk mengambil alih kawalan di beberapa kawasan di selatan Lubnan.

Mengikut perjanjian itu, tentera Israel akan berundur secara berperingkat selepas kawasan berkenaan disahkan bebas daripada kehadiran Hizbullah.

Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan perjanjian itu, Angkatan Tentera Lubnan dikehendaki memperkukuh penempatan anggotanya di zon yang ditetapkan, memusnahkan infrastruktur Hizbullah serta menguatkuasakan larangan kekal terhadap kepulangan kumpulan itu ke kawasan berkenaan. AS pula berjanji akan terus memberikan sokongan kepada Angkatan Tentera Lubnan.

Hizbullah bagaimanapun mengecam perjanjian tersebut dengan menyifatkannya sebagai satu “penghinaan”.

Kumpulan itu turut memberi amaran bahawa sebarang cubaan untuk melucutkan senjatanya secara paksa boleh mencetuskan konflik dalaman di Lubnan, selain menegaskan akan meneruskan operasinya.

Sehingga kini, Israel masih belum mengumumkan sebarang tempoh masa yang jelas untuk pengunduran sepenuhnya tenteranya dari kawasan yang disifatkannya sebagai “zon keselamatan”, sedangkan perkara itu merupakan antara tuntutan utama Lubnan dalam rundingan yang sedang berlangsung. – VIORY

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.