
GURUN, 1 Julai – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Jerai ditemukan selamat malam tadi, selepas hampir tiga hari terperangkap di kawasan curam iaitu kira-kira 20 meter dari tebing gaung gunung itu.
- Mangsa berusia 34 tahun ditemui berdekatan tebing Padang Tok Sheikh selepas pendaki lain membuat panggilan kecemasan mendengar jeritan meminta tolong.
- JBPM menggerakkan anggota BBP Guar Cempedak dan melaksanakan operasi tali serta peralatan khas untuk turun ke dalam gaung.
- Pasukan memasang abah-abah keselamatan dan menggunakan sistem tali bagi membawa mangsa naik ke tebing dengan selamat.
- Mangsa stabil tanpa kecederaan serius, diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Sungai Petani untuk pemeriksaan lanjut.
Mangsa berusia 34 tahun ditemui berdekatan tebing Padang Tok Sheikh oleh pasukan penyelamat selepas menerima panggilan kecemasan oleh pendaki lain yang melalui kawasan itu dan mendengar jeritan meminta tolong.
Komander Operasi Kanan, Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kedah, Ahmad Naufal Abdullah memaklumkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu menerusi panggilan pada pukul 7.30 malam sebelum mengarahkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Cempedak ke lokasi kejadian.
Beliau berkata hasil maklumat awal, mangsa dipercayai berada pada kedudukan kira-kira 15 hingga 20 meter dari tebing dan orang awam memaklumkan lelaki itu dipercayai hilang hampir tiga hari.
“JBPM melakukan pemeriksaan lanjut dan cuba menghubungi mangsa dari atas tebing, namun tidak menerima sebarang maklum balas.
“Susulan itu, operasi menyelamat menggunakan sistem tali dan peralatan khas penyelamatan di kawasan curam dilaksanakan bagi membolehkan anggota turun ke dalam gaung.*
“Pasukan bomba kemudian memasang ‘abah-abah keselamatan’ dan menggunakan sistem tali bagi membawa mangsa naik semula ke tebing dengan selamat”, katanya menerusi kenyataan.
Menurut Ahmad Naufal, pemeriksaan awal oleh pasukan penyelamat mendapati mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan berada dalam keadaan stabil.
Beliau berkata mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan dihantar ke Hospital Sungai Petani bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Mangsa dari Johor mendakwa mendaki sendirian pada pukul 4.00 petang hari Ahad sebelum tergelincir dan terjatuh ke dalam gaung dan barangan peribadinya turut hilang.
Seramai sembilan anggota bomba serta beberapa aset termasuk sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan kenderaan pacuan empat roda digunakan dalam operasi menyelamat.
Turut membantu operasi itu, polis, Angkatan Tentera Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Operasi tamat sepenuhnya pukul 11.36 malam.